Saturday, August 22, 2009

Gula cukup menjelang raya

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata beliau diberikan jaminan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu bahawa bekalan gula di negeri ini masih stabil.

Malah tidak akan berlaku kekurangan bekalan menjelang raya, katanya.

Beliau menyatakan perkara ini selepas Mesyuarat Exco menjawab soalan pemberita mengenai kebimbangan akan berkurangan bekalan gula di Terengganu.

Timbalan Pengarah KPDNKK Terengganu, Ab Ghani Harun pula berkata, masih terdapat 132.902 metrik tan gula dalam simpanan pemborong seluruh Terengganu semalam, manakala sebanyak 1,800 metrik tan gula dalam kuota pengilang yang belum diagih kepada pemborong.

“Jumlah itu kita akan agihkan kepada semua peruncit untuk kegunaan pengguna di Terengganu.
“Sekarang ini ada berbaki 142 metrik tan gula yang belum diambil pemborong dengan pihak kilang MSN dan CSR untuk bekalan di Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan bekalan gula di Mydin Mall, kelmarin.

Abdul Ghani berkata, dengan stok dan kuota yang ada, beliau yakin bekalan gula di negeri ini mencukupi serta menafikan khabar angin kekurangan gula.

Menurutnya, khabar angin berlaku kerana beberapa sebab antaranya apabila kegagalan menyediakan bekalan gula kepada peruncit yang sebelum ini tidak pernah membekalkan gula kepada pengguna.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan menghantar gula ke kedai runcit yang belum pernah membekalkan bekalan kepada pengguna tetapi memohon bekalan tersebut pada waktu ini.

Selain itu, penggunaan gula untuk keperluan raya juga menyebabkan pengguna panik dengan pelbagai kemungkinan ter-paksa dihadapi menjelang raya.

Ab Ghani turut menasihatkan pengguna supaya mendapatkan bekalan gula di pasar raya dilantik seperti Mydin Mall, Sabasun, Giant dan Astaka sekiranya mempunyai masalah bekalan gula di kedai runcit.

Mengulas lanjut, sebanyak 14 kedai di Terengganu dilantik di bawah Program Kedai Pemulihan Pengguna yang akan memastikan pengguna tidak terputus bekalan.

Antaranya empat buah pasar raya masing-masing di Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun, dua di Besut dan satu di Setiu yang dilantik melalui pemerhatian selama sebulan oleh pihaknya.

“Kalau ada apa-apa rungutan sila maklum di pejabat kami untuk mendapat bantuan selanjutnya memandangkan sekarang ini ramai pengguna ingin mendapatkan gula untuk kegunaan mereka ditambah dengan khabar angin yang mengatakan gula tidak cukup,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut menghantar pasukan bantuan untuk menambah bekalan gula sebanyak 100 tan metrik sekiranya terdapat masalah bekalan barangan itu dalam kalangan pemborong.

Terdahulu, KPDNKK turut menjalankan pemeriksaan gula di syarikat Siang Joo Enterprise di Gong Badak dan mendapati bekalan gula tiada sebarang masalah sambil memberitahu terdapat 19 syarikat pemborong gula di seluruh negeri.

Pemilik syarikat tersebut, Lau Sin Pin ketika ditemui berkata, masalah kekurangan gula yang dikatakan sebelum ini adalah berpunca daripada sikap peruncit yang tidak mengawal barangan tersebut di samping pengguna panik dan khuatir bekalan tidak mencukupi.

No comments:

Post a Comment