Saturday, August 22, 2009

Belia perlu bantu polis jaga keamanan

Remaja dan belia digesa bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memelihara keamananan dan ketenteraman negara dengan menyertai pelbagai badan sukarela.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata generasi belia perlu bangkit untuk memastikan usaha mencegah jenayah menjadi agenda bersama tanpa mengharap sepenuhnya kepada polis.


"Kita yakin dengan pembabitan generasi muda, belia, wanita dan semua golongan masyarakat dalam platform interaksi kesukarelawan, ia akan membuahkan hasil yang baik dan berkesan dalam menangani jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Menteri Dalam Negeri Bersama PDRM Kontijen Terengganu dan Masyarakat Dalam Usaha Mencegah Jenayah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan pemimpin-pemimpin politik serta ketua-ketua masyarakat.

Program itu dimulakan dengan persembahan tarian kebudayaan, diikuti alunan lagu patriotik dan tempatan oleh pasukan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hishammuddin berkata, perjuangan pada hari ini adalah untuk mengisi niat, hasrat, harapan serta visi kemerdekaan yang ada dan sehubungan itu generasi muda mesti sedar bahawa kemerdekaan mesti dipertahankan dalam apa jua cara sekali pun.

Beliau berkata, penglibatan golongan belia, wanita muda dan semua golongan masyarakat dalam platform kesukarelawan itu akan membantu mencegah jenayah dan membasmi masalah sosial di negeri ini.

"Generasi belia perlu bangkit untuk memastikan usaha mencegah jenayah menjadi agenda bersama tanpa mengharapkan sepenuhnya kepada polis.

"Kita yakin dengan penglibatan generasi muda, belia, wanita dan semua golongan masyarakat dalam platform interaksi kesukarelawan, ia akan membuahkan hasil yang baik dan berkesan dalam menangani jenayah," katanya.

Lebih 4,000 penduduk di bandar raya Kuala Terengganu menghadiri majlis itu yang dimeriahkan dengan pelbagai persembahan oleh anggota polis.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut melancarkan pasukan platform kesukarelawan pilihan di tujuh daerah di negeri ini.

Hadirin turut teruja dengan demonstrasi menunggang motosikal berkuasa tinggi dan segmen menangkap penjenayah oleh unit peronda polis.

Persembahan diakhiri dengan demonstrasi penggunaan baton dan senaman perang oleh kira-kira 100 anggota polis.

No comments:

Post a Comment