Jangan salah gunakan bantuan zakat yang diberikan sebaliknya ia hendaklah digunakan untuk membeli barangan keperluan bagi membolehkan mereka melalui Ramadan dan beribadat dengan lebih selesa.
Ini kerana ada segelintir penerima yang menyalahgunakan bantuan zakat yang diberikan membeli barangan tidak berfaedah dan bukannya barangan keperluan harian.
Dalam mengutarakan nasihat itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh mengingatkan penerima bantuan zakat bahawa sumbangan itu dihulurkan untuk meringankan beban terutama membeli barangan keperluan harian.
"Tidak semua yang menyalahgunakan bantuan untuk memberi barangan tidak berfaedah terutama pakaian baru dan sebagainya tetapi ia sebagai peringatan kerana kita perlu memastikan bantuan yang diberikan itu memberikan manfaat dan digunakan sebaiknya," katanya.
Beliau berucap pada majlis penyampaian bantuan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) kepada 1,318 warga miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh, baru-baru ini.
Walaupun bantuan yang diterima tidak banyak iaitu hanya RM250 tetapi jika digunakan sebaiknya ia dapat sedikit sebanyak menampung perbelanjaan harian terutama untuk membeli barangan keperluan sepanjang Ramadan, tambah Muhammad Ramli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepuh.
Sementara itu penerima bantuan yang ditemui meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan yang akan membolehkan mereka melalui Ramadan dengan lebih selesa sekali gus menjadikan bulan ibadah ini dilalui dengan penuh bermakna.
Ibu tunggal dari Kampung Sungai Ikan, Senik Mat, 67, berkata walaupun sumbangan itu tidak sebesar mana bagi kebanyakan orang berada, tetapi bagi golongan sepertinya ia sangat bermakna untuk membolehkannya menyediakan keperluan Ramadan dengan lebih baik.
"Saya akan guna wang itu sebaik mungkin kerana yang paling penting adalah memastikan bekalan makan mentah sepanjang Ramadan ini mencukupi," katanya.
Warga emas, Nawang Mamat, 70, dari kampung yang sama akan menggunakan sebaik mungkin bantuan yang diberikan dengan hanya membeli barangan keperluan harian bagi membolehkan dia melalui Ramadan dengan hidangan yang lebih enak daripada biasa.
"Bantuan yang diberikan ini sudah mencukupi kerana saya tinggal berdua bersama isteri dan tidak banyak yang perlu dibelanjakan. Apa pun kami sangat bersyukur menerimanya," katanya
No comments:
Post a Comment