Monday, August 31, 2009

JKKK wajar letak jawatan

Sumber: Utusan Malaysia

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang gagal menjalankan tugas yang diamanahkan oleh kerajaan negeri sebagai wakil kepada rakyat wajar meletakkan jawatan mereka.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kegagalan mereka menjadi perantaraan yang baik antara kerajaan dengan rakyat, bakal merosakkan nama baik kerajaan negeri.

Katanya, jika perkara itu berterusan, apa sahaja bantuan dan sumbangan yang diberikan kerajaan negeri tidak akan sampai ke tangan rakyat.

"Saya amat kesal dengan tindakan sesetengah JKKK yang tidak menjalankan tugas seperti yang diamanahkan sehingga menyebabkan rakyat menyalahkan kerajaan kerana bantuan tidak sampai.

"Jika perkara yang tidak sebesar manapun tidak dapat dilakukan, lebih baik mereka meletak jawatan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Parlimen Kuala Nerus semalam.

Turut hadir sama ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya telah mendapat banyak laporan daripada penduduk tentang sesetengah JKKK yang tidak menyampaikan sumbangan buah kurma dan air zam-zam kepada rakyat seperti yang diarahkan.

Jelasnya, kebanyakan laporan melibatkan kawasan di sekitar Kuala Terengganu.

"Setiap JKKK perlu menyerahkan sumbangan tersebut dari rumah ke setiap rumah namun ada di kalangan JKKK tersebut memberikan sumbangan itu di masjid selepas selesai menunaikan solat tarawih.

"Ini menyebabkan ada yang menerima dan ada yang tidak menerima sumbangan tersebut malah ada yang menerima lebih daripada sepatutnya," ujarnya kesal.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana JKKK yang menyalahgunakan amanah yang telah diberikan.

No comments:

Post a Comment