Monday, August 3, 2009

Kehakiman syariah guna KPI

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu (JKSNT) memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam usahanya mengembalikan imej bersih jabatan tersebut khususnya di kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Khazan Che Mat berkata, terdapat segelintir masyarakat yang memandang negatif kepada jabatan tersebut terutamanya dari segi tempoh proses keadilan yang sering lewat diselesaikan.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan pelancaran Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 dan pelaksanaan KPI di Primula Beach Resort, di Kuala Terengganu semalam.
Katanya, menerusi pelaksanaan KPI, beliau yakin usaha menyelesaikan proses keadilan akan berjalan dalam jangka waktu yang telah ditetapkan.

"JKSNT mengambil langkah awal untuk melaksanakan KPI dalam memberi imej yang baik kepada masyarakat terhadap jabatan agama.

"Sehubungan itu, saya berharap jabatan-jabatan agama lain akan mencontohi jabatan ini dalam memenuhi tuntutan masyarakat apabila berurusan dengan jabatan agama," katanya.

No comments:

Post a Comment