Saturday, August 22, 2009

LTH peka kesihatan jemaah

Lembaga Tabung Haji (LTH) Terengganu masih menjalankan proses persediaan jemaah yang akan melaksanakan ibadat haji tahun ini, meskipun berhadapan dengan penularan wabak selesema babi (H1N1).

Demikian kata Pengarah Lembaga Tabung Haji Terengganu, Mohammad Mokhzani Mokhtar pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pembukaan Ahli Baru Tabung Haji dan Anugerah Kecemerlangan Ahli Kelab Taha di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Guntong, di sini.

Menurut Mohammad, pihaknya me-ngambil langkah serius dengan memberi penekanan terhadap aspek pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh.

“Setakat ini, seramai 1,292 jemaah sudah menjalani kursus bimbingan, pengurusan kesihatan serta menyerahkan pasport kepada pihak LTH, sekali gus memberi keutamaan kepada aspek kesihatan.

“Selain memberi suntikan biasa iaitu radang selaput otak, kami turut menggalakkan jemaah yang akan ke tanah suci mendapatkan suntikan influenza dan pneumonia,” katanya.

Menurutnya, jemaah ataupun ahli keluarga tidak perlu terlalu bimbang berhubung penularan wabak berkenaan kerana pihaknya akan memastikan bakal jemaah diberi rawatan segera serta mengambil ubat-ubatan bersesuaian nanti.

“Kesemua jemaah yang menjalani kursus akhir diberi pendedahan berhubung perkara ini dan keadaan pada masa kini masih lagi tidak membimbangkan jemaah bagi melaksanakan ibadat mereka di Tanah Suci Makkah nanti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh turut menjelaskan jemaah dan ahli keluarga tidak perlu lagi melalui proses transit di Stadium Tertutup Gong Badak seperti tahun lalu.

“Sebaliknya, kami terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Bagaimanapun, kata putus berhubung perkara ini akan diperjelaskan dalam mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment