Monday, August 17, 2009

Majlis menteri, polis bersama masyarakat malam ini

Sumber : Utusan Malaysia

Polis Terengganu akan menganjurkan Majlis Menteri dan Polis Bersama Masyarakat Mencegah Jenayah Peringkat Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, penganjuran majlis tersebut adalah bagi membentuk kesedaran di kalangan anggota masyarakat bahawa tanggungjawab mencegah jenayah tidak hanya terletak pada polis tetapi mereka juga perlu memainkan peranan.

Katanya, selain itu ia juga merupakan program untuk merapatkan lagi hubungan antara polis dengan anggota masyarakat.

''Orang ramai dijemput menghadiri majlis ini yang bermula kira-kira pukul 8 malam.

''Majlis yang akan dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu turut akan diserikan beberapa acara aksi menarik oleh anggota pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu," katanya.

Beliau berkata, seramai 500 anggota IPK Terengganu akan terlibat mengadakan pelbagai persembahan termasuk demonstrasi motosikal berkuasa tinggi dan segmen mencegah jenayah melibatkan polis peronda.

''Persembahan payung terjun dan seni silat termasuk menggunakan belantan dan senaman perang selain demonstrasi Unit Berkuda juga merupakan antara pertunjukan yang akan diadakan pada majlis ini.

''Sebanyak 300 kadet polis dari pelbagai sekolah di negeri ini turut akan terlibat dalam menganjurkan persembahan berkenaan," ujarnya.

Beliau memberitahu, perkhidmatan polis pelancong di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Tasik Kenyir juga akan dilancarkan pada majlis berkenaan.

''Perkhidmatan polis pelancong di ketiga-tiga destinasi pelancongan ini akan memberikan keyakinan terhadap pelancong dalam dan luar negara dari segi keselamatan untuk berada di sana," katanya.

No comments:

Post a Comment