Monday, August 17, 2009

Perancangan strategik PMINT 2010-2014

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) kini dalam usaha menyediakan perancangan strategik untuk tempoh lima tahun antara 2010 hingga 2014).

Pengurus Besarnya, Datuk Zakaria Awang berkata hasil daripada perbincangan dan brainstorming yang dilaksanakan di kalangan semua Pegawai Kumpulan Pengurusan & Professional PMINT, sebanyak lima hala tuju strategik dan enam perancangan perniagaan yang telah dirangka.

Ia bertujuan memandu PMINT ke arah hala tuju yang ditetapkan.

”Melalui perancangan strategik PMINT, kita telah menetapkan bahawa visi PMINT adalah peneraju, penjana dan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Terengganu.

”Saya percaya hala tuju yang digariskan ini adalah selaras dengan hala tuju Kerajaan Negeri yang amat menitikberatkan kesejahteraan rakyat di dalam setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan.

Dengan melihat kepada kesungguhan dan komitmen kita ini, saya amat berharap pihak Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada PMINT dalam merealisasikan hasrat PMINT,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada jamuan makan malam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PMINT 2009 di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu 11 Ogos lalu.

Beliau turut mengingatkan warga kerja PMINT bahawa integriti yang diberi penekanan kepada kakitangan awam bukanlah semata-mata melibatkan rasuah atau penyalahgunaan kuasa tetapi interpretasinya adalah lebih daripada itu kerana jika diteliti makna integriti itu sendiri adalah sangat luas dan mendalam.

Menurut Zakaria, PMINT telah menggarap lima teras yang akan menjadi panduan asas kepada warga kerja bagi membentuk sikap dan perlakuan warga kerja yang berkualiti dan berfikiran positif.

Nilai-nilai teras yang dimaksudkan ialah Integriti, Kreatif dan Inovatif, mempunyai semangat kerja berpasukan, Cakna dan mempunyai motivasi diri yang tinggi.

”Nilai-nilai teras ini akan disemai ke dalam jiwa setiap warga kerja agar mereka dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik sehingga membawa kepada pencapaian misi dan visi PMINT.

”Yang pastinya kerajaan juga pada masa ini amat memandang berat soal integriti dan telahpun mewujudkan mekanisme dan struktur yang mantap bagi memastikan perkhidmatan awam berada di tahap yang tertinggi apabila dinilai dari segi integriti dan amalan murni anggotanya.

Pada masa yang sama juga, kita perlu terus berusaha memupuk nilai-nilai positif di kalangan warga kerja tanpa mengenal rasa penat dan jemu, ’ katanya.

No comments:

Post a Comment