Saturday, August 22, 2009

Penembusan penggunaan internet masih rendah

Pemilikan komputer di negeri ini masih rendah iaitu hanya 24.4 peratus bagi setiap 100 isi rumah, berbanding 32.3 peratus di peringkat nasional untuk bilangan isi rumah sama.

Begitu juga dengan kadar penembusan penggunaan internet, hanya pada tahap 11.5 peratus bagi setiap 100 isi rumah berbanding di peringkat nasional sebanyak 22.9 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr A Rahman Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri dipengerusikan Ahmad Razif Abd Rahman berharap, penggunaan komputer dan internet di negeri ini bertambah.

Menurutnya, Kerajaan Negeri berharap, dengan inisiatif Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperbanyakkan Pusat Jalur Lebar dalam usaha meningkatkan penggunaan internet di peringkat negeri seterusnya nasional, menyumbang kepada tahap 50 peratus untuk 2010.

Pada masa sama SKMM dicadangkan bekerjasama dengan institusi pendidikan mengadakan Kempen Penggunaan Internet dan Telefon Mudah Alih Secara Positif kepada pelajar.

“Ia sebagai usaha kempen kesedaran golongan ini untuk mengelak penyalah-gunaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Daerah Besut di PJK Kampung Raja.

Hadir sama, Pengarah Wilayah Timur SKMM, Mohd Shafie Harun selain agensi terlibat dalam program itu iaitu Telekom Malaysia, Celcom, Maxis, Pos Malaysia, Digi dan Intel.

Pada majlis sama, A Rahman turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Membuat Blog SKMM-Intel 2009 yang disertai pelajar sekolah di daerah ini.

Tempat pertama Kategori Sekolah Menengah dimenangi pelajar Sekolah Menengah Agama Maarif, Mohd Nahies Ismail; kedua, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Syed Mohd Akid Syed Zainal Abidin manakala tempat ketiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Farhanazuha Mohd.

Bagi Kategori Sekolah Rendah, tempat pertama dimenangi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut 2, Syahiran Razali; kedua, SK Tok Raja, Ahmad Danniel Rahimin dan ketiga, murid SK Alor Lintah, Nik Maryam Hasya Ahmad Bhokari.

Kata A Rahman, sebanyak 368 penyertaan diterima berbanding sasaran awal hanya 100 penyertaan sahaja dalam program yang julung kalinya diadakan di negara ini.

No comments:

Post a Comment