Saturday, August 15, 2009

PTC muncul juara Polo Merdeka League 2009

Kelab Polo Terengganu (PTC) muncul juara setelah berjaya menundukkan juara bertahan, Konsep Punjat 9-8 pada perlawanan akhir Pertandingan Polo Merdeka League 2009 di Royal Selangor Polo Club, Ampang, Kuala Lumpur.

Ini adalah kemenangan membanggakan PTC sejak menyertai pertandingan yang berlangsung sejak Mei lalu, dan mereka juga berjaya memecahkan rekod Konsep Punjat yang sebelum ini tidak pernah dikalahkan.

Pada peringkat awal saingan, PTC yang kekura-ngan 1/2 mata dengan Pasukan Lima Star akhirnya berjaya menundukkan lawan dengan 7-4 1/2 mata.

Pada pusingan kedua pula, PTC berjaya membelasah pasukan Santai Manissa Polo dengan 8-3 1/2 mata.

Walaupun pasukan Konsep Punjat berjaya menundukkan PTC pada perlawanan kedua dengan keputusan 9-3 1/2, tetapi hasil kerjasama setiap pemain, PTC berjaya bangkit memberi asakan sehingga perlawanan akhir antara kedua pasukan itu berakhir dengan keputusan 8-8.:

Kemenangan PTC diraih pada masa tambahan setelah kedua-dua pasukan mencatat keputusan sama sehingga akhir perlawanan dan akhirnya juara menjadi milik PTC.

PTC diwakili empat pemain dari Terengganu iaitu Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman, Syed Ahmad Bukhari Syed Muhsin, Syamsuri Mohamad Ismail dan Nasaruddin Yassin serta seorang pemain profesional dari Argentina Sebastien Tkacik.

Pasukan Konsep Punjat pula masing-masing diwakili seorang pemain profesional Pakistan dan Argentina, seorang pemain wanita dan seorang pemain Malaysia dianggap pasukan paling digeruni dalam sukan ini.:

Sementara itu, ketua pasukan PTC, Tengku Sri Panglima Raja berkata, semua pemain gembira atas kemenangan tidak disangka itu.:

“Kami amat berbangga dengan kejayaan ini kerana kami yang baru berusia setahun berjaya menewaskan pasukan yang tidak pernah dikalahkan mana-mana pasukan polo sebelum ini,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian:, semalam.

Menurutnya, hasil latihan tiga kali seminggu di Terengganu Eqeustrian Resort nyata memberi hasil berbaloi.

No comments:

Post a Comment