Isu 34 peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol tidak seharusnya kusut.
Mereka mahukan tempat berniaga baru. Mereka juga memohon Menteri Besar campur tangan. Namun, yang pasti mereka kena pindah. Tiada pilihan lagi.
Datuk Ahmad Said sudah menyatakan Kerajaan Negeri tidak lagi boleh bertolak ansur. Lagipun pampasan sudah lama dibayar.
Pembangunan perlu dilaksanakan segera sebagai sebahagian ‘mencantikkan’ Bandar Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, menurut laporan Sinar Harian, seramai 34 peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang diarah mengosongkan premis perniagaan mereka sehingga Isnin ini (17 Ogos 2009) tetap berkeras enggan berpindah.
Mereka berkeras selagi pihak pemaju serta Kerajaan Negeri tidak menyediakan lokasi baru untuk mereka berniaga.
Sehubungan itu, kumpulan peniaga terbabit yang sekali lagi mengadakan perhimpunan secara aman bersebelahan Pasar Payang, kelmarin serta mengambil keputusan untuk terus berniaga di situ.
Mereka juga meminta Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyelesaikan segera masalah terbabit.
Peniaga kedai buku dan majalah, Mohd Azam Abd Rahman, 50, berkata, bermacam-macam inisiatif dilakukan peniaga di situ bagi memohon dilanjutkan tempoh pemindahan selain meminta disediakan tapak baru untuk berniaga tetapi sehingga kini pihak terbabit masih bertindak dengan berdiam diri.
Menurut Mohd Azam, mereka merayu supaya Menteri Besar sendiri turun padang bersama-sama rakyat di sini mendengar rintihan masalah yang dihadapi secara berdepan dan bukan dengan menggunakan ‘orang tengah’.
“Sepanjang notis dikeluarkan, saya dan rakan peniaga yang lain ada memohon untuk berniaga di tapak tanah kosong berhampiran Jalan Daik, berhadapan bangunan Paya Keladi tetapi tidak diluluskan,” katanya.
Menurutnya, mereka pernah memohon kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu untuk berniaga di tapak tanah kosong miliknya tetapi ditolak atas alasan tanah itu juga akan dibangunkan.
Ahmad Said sebelum ini berkata kesemua 35 pemilik rumah kedai berusia lebih 100 tahun di Jalan Bandar berdekatan Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu yang akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada rancangan pembangunan semula pusat bandar raya sudah diberikan pampasan masing-masing.
Katanya, peniaga berkenaan sudah dibayar pampasan sejak 1990-an kerana rancangan pembangunan semula itu sudah lama diputuskan tetapi tidak dilaksanakan berikutan menghadapi beberapa masalah.
"Isu ini sudah lama, (sejak) tahun 1990-an lagi mereka sudah terima bayaran. Cuma projek itu tertangguh kerana ada sedikit masalah, setengah itu dah menyewa tempat perniagaan lain.
"Jadi tak betullah kalau mereka tak nak keluar. Mereka bukan diberi notis sehari dua... dah bertahun. Apa yang kita nak buat sekarang ialah membangunkan bandar dan membesarkan jalan," katanya baru-baru ini.
Beberapa akhbar baru-baru ini mendedahkan bantahan peniaga terbabit yang mahu kerajaan negeri menyediakan kos perpindahan selain pampasan pengambilalihan tanah di kawasan itu.
No comments:
Post a Comment