Monday, August 24, 2009

RM30 juta bina akademi penerbangan KISTAA

Sebanyak RM30 juta dilaburkan Kolej Islam dan Sains Teknologi (KIST) untuk mewujudkan Akademi Penerbangan KIST (KISTAA) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Presiden KIST, Muhammad Zamly Abdullah berkata, pihaknya telah mendapat kelulusan Jabatan Penerbangan Awam untuk menyewa premis dan tanah milik Malaysia Airport Sdn Bhd di lapangan terbang itu.

Kami telah menyewa Balai Bomba Lama Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang akan diubah suai untuk dijadikan pusat pembelajaran dan pejabat pengurusan KISTAA, selain satu ruang khas pula akan dibina bersebelahan Balai Bomba Lama, digunakan untuk memuatkan empat unit kapal terbang latihan dalam satu-satu masa.

“Kerja pembinaan dan ubah suai akan dilakukan secepat mungkin kerana semua urusan perjanjian sewa tanah terbabit dengan Malaysia Airport Sdn Bhd telah selesai,” katanya kepada :Sinar Harian:.

Menurut Muhammad Zamly, KISTAA akan mengambil pelajar pertama antara September dan Oktober ini setelah mendapat kelulusan rasmi operasi daripada Jabatan Penerbangan Awam.

Sementara menunggu KISTAA siap dibina, pejabat sementara KISTAA sekarang beroperasi berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“KISTAA akan menggunakan kapal terbang jenis Tecnam buatan Itali yang juga kapal terbang pertama digunakan di Malaysia dan lebih istimewa kapal terbang ini hanya menggunakan minyak petrol biasa,” katanya.

Menurutnya, penggunaan kapal terbang itu sekali gus membantu menjimatkan kos, selain tahan lasak dan telah dipandu uji jurulatih KISSTA yang diketuai Kolonel (B) Mazlan Hussien.

“Kami juga telah melantik jurulatih yang pakar dalam bidang masing-masing untuk mengendalikan KISTAA dan majoritinya adalah anak Terengganu.

“Secara tidak langsung, ia membuka peluang kepada anak negeri ini terutamanya pesara Tentera Udara Diraja Malaysia untuk memohon dan tinggal di kampung halaman sendiri,” katanya.

Menurut Muhammad Zamly, pihaknya berhasrat berganding bahu bersama Kerajaan Negeri untuk memajukan Terengganu, seterusnya menjana pendapatan masyarakat sekitar dan mencipta pelbagai peluang pekerjaan sampingan lain.

“Sesi temu duga untuk kemasukan ke KISTAA akan dijalankan setelah mendapat kelulusan rasmi Jabatan Penerbangan Awam.

“Pelajar yang berminat boleh melayari laman web www.kist.edu.my atau hubungi Mejar (B) Ibrahim menerusi talian 019-918 5423 atau Kolonel (B) Mazlan (019-9854023) untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment