Monday, August 24, 2009

MPD : Gerai makanan kotor akan ditutup

Bazar Ramadan menjadi tumpuan utama masyarakat beragama Islam untuk mencari juadah berbuka puasa

















Dato' Ahmad serta isteri ketika melawat dan meninjau sambil membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan di Shahbandar, Kuala Terengganu kelmarin.

Bagi sebahagian suri rumah pula, kewujudan tempat perniagaan khas sempena bulan mulia itu dikatakan dapat meringankan sedikit beban di dapur yang menjadi rutin harian mereka.

Kebersihan pula adalah faktor utama yang seharusnya diambil kira sebelum orang ramai membeli makanan di Batu 4 Dungun, selain saranan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said agar pihak berkenaan turut memantau kebersihan pengusaha makanan yang menyediakan produk jualan mereka di rumah sebelum menjualnya di bazar Ramadan.

Malah pihak berkuasa tempatan turut memberi perhatian pada kebersihan makanan dan gerai.

Pada tahun 2008, Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengarahkan empat premis menjual makanan di bazar Ramadan ditutup kerana gagal mematuhi tahap kebersihan ditetapkan.

Setiausaha MPD, Mohd Sophian Abu Bakar dalam satu kenyataannya berkata, harapannya pada tahun ini adalah untuk melihat semua premis menjual maka-nan beroperasi di daerah ini, terutama di beberapa lokasi bazar Ramadan mematuhi peraturan berkaitan aspek kebersihan.

“Antara kesalahan utama yang sering dilakukan pengendali makanan adalah tidak menutup makanan yang dimasak dan tidak menggunakan penyepit atau sarung tangan semasa menyediakan makanan.

“Ada juga peniaga yang tidak menggunakan apron, tidak memakai kasut dan gagal menutup kepala.

"Bagi penjual wanita pula mereka suka memakai barangan kemas seperti gelang dan cincin semasa mengendalikan makanan, keadaan ini sebenarnya boleh menjejaskan kebersihan produk makanan yang dijual,” katanya.

Menurut Sophian, pihaknya sentiasa memantau keadaan itu dan sekiranya ada pihak yang gagal mematuhi peraturan, tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang berkenaan.

“Anggota penguat kuasa yang ditugaskan di setiap lokasi bazar Ramadan akan membuat pemantauan dari masa ke semasa, jika ada peniaga melanggar arahan ini, kita akan ambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun, jika masih mengulangi kesalahan ini, kita tidak teragak-agak untuk mengeluarkan arahan menutup premis,” katanya.

No comments:

Post a Comment