Friday, August 7, 2009

Subsidi RM30 untuk kursus kahwin

Terengganu adalah antara negeri yang kadar yuran kursus pra perkahwinan masih rendah iaitu RM50 berbanding negeri lain.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, rakyat Terengganu dapat menikmati kadar yuran kursus pra perkahwinan rendah kerana Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu menyediakan subsidi RM30 bagi setiap individu yang mengikuti kursus itu sejak diperkenalkan pada 1998.

Sekiranya tiada subsidi, yuran kursus pra perkahwinan boleh mencecah RM80 seorang. Setakat ini kadar yuran di negeri ini masih lagi rendah berbanding di negeri lain yang kebanyakannya berharga RM60 hingga RM100.

Salah satu faktor kenapa kadar yuran kursus pra perkahwinan masih rendah di negeri ini disebabkan ia dikendalikan sendiri Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), tidak seperti di negeri lain kerana kebanyakan kursusnya dikendalikan pihak swasta,” katanya ketika ditemui: Sinar Harian :selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Modul Bersepadu Pra-Perkahwinan Islam, anjuran JHEAT dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini.:

Menurut Muhammad Ramli, setakat ini Kerajaan Negeri tidak memberi kebenaran kepada pihak swasta untuk mengendalikan kursus pra perkahwinan bagi mengelakkan sijil kursus dibeli tanpa perlu mengikuti kursus.

Kita ambil langkah ini kerana tidak mahu berlaku kes seperti itu, justeru, sehingga kini kursus pra perkahwinan masih di bawah tanggungjawab JHEAT.

Aspek kehadiran amat dititikberatkan ketika mengendalikan kursus ini. Meskipun peserta tidak hadir pada satu slot, mereka tidak akan diberikan sijil dan perlu menggantikan dengan hadir pada kursus akan datang untuk melayakkan mereka mendapat sijil,” katanya.

Menurut Muhammad Ramli, kehadiran peserta penting untuk memastikan objektif pelaksanaan kursus pra perkahwinan mampu mencapai matlamat ditetapkan.

Sementara itu, beliau turut memuji usaha Lembaga Muzium Negeri Terengganu mengadakan kursus pra perkahwinan kepada 64 kakitangan dan individu luar kerana ia adalah salah satu bentuk kebajikan majikan kepada kakitangan.

Agensi kerajaan dan swasta lain boleh mencontohi Lembaga Muzium Negeri Terengganu menganjurkan kursus pra perkahwinan ini yang julung kali diadakan jabatan kerajaan di negeri ini, selain memperuntukkan sedikit bajet untuk program seumpama ini," katanya.

No comments:

Post a Comment