Oleh Abdul Halim Yusoff (Berita Harian)
BILA disebut Terengganu, pasti ramai di luar negeri bertuah ini akan terbayangkan penyu, keropok lekor, songket dan batik serta warisan seni budaya yang diterjemahkan menerusi ramai adiguru makyong, menora, dikir barat, pengukir kayu, tukang tembaga dan makanan tradisional yang enak serta warga yang ramah dan berbudi tinggi.
Ketika di sekolah menengah di negeri saya, Perak, perkenalan dan jangkaan saya terhadap negeri ini dizahirkan dengan lawatan dan kunjungan ke kilang pengeluaran batik, penenun songket, tukang tembaga, pertunjukan menora, makanan rasmi nasi dagang dan sebagai negeri penyu, kami tidak ketinggalan ke Rantau Abang, Dungun.
Fast Forward, 18 tahun kemudian, Terengganu menjadi 'rumah kedua' apabila saya ditukarkan untuk berkhidmat di sini, dan pertemuan dengan keropok lekor, budu, sotong celup tepung serta hidangan gulai lemak ikan kelah seperti menyatukan semula jejak yang hilang selama ini.
Sesudah 18 tahun, sudah pasti terlalu banyak perubahan dengan Terengganu dan paling mudah dikenal pasti ialah pembangunan terutama menerusi jalan-jalan yang semakin lebar dan cantik, bangunan dan kompleks baru termasuk beberapa stadium serba baru, walaupun satu daripadanya ditimpa petaka apabila sebahagian bumbung runtuh baru-baru ini, serta paling mengujakan monumen Islam dan binaan tarikan pelancongan di Pulau Wan Man.
Sejak lapan bulan di sini, saya sedar bahawa Terengganu sedang menuju untuk menjadi negeri yang meraih hasil utama dalam bidang pelancongan. Kerajaan negeri sudah menyusun strategi yang betul dengan komitmen pelaburan besar dalam bidang itu supaya pada masa depan Terengganu tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada royalti petroleum.
Selain pelbagai tarikan sedia ada, destinasi utama lain diberi perhatian ialah Tasik Kenyir yang mana kerajaan negeri sudah menyusun rancangan pembangunan secara keseluruhan membabitkan peruntukan RM500 juta. Rancangan pembangunan itu akan merubah tarikan di tasik buatan terbesar Asia Tenggara daripada sekadar tempat kaki pancing kepada satu destinasi pelancongan lengkap merangkumi taman tema air, pulau dengan tema tarikan berbeza, kereta kabel dan pusat beli belah.
Tahun lalu, sempena Tahun Melawat Terengganu, sejumlah 3.5 juta pelancong melawat negeri ini dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengunjurkan jumlah itu akan meningkat kepada empat juta tahun ini.
Begitupun, ramai juga peserta industri di negeri ini yang tidak yakin dengan pencapaian sasaran itu berikutan ketiadaan agenda atau komunikasi tersusun antara kerajaan dan pemain dalam merumus agenda promosi. Ramai yang mendakwa keadaan seperti yang dikatakan seorang penulis Amerika Syarikat, Truman Capote, 'perbincangan adalah dialog, bukan monolog'.
Justeru, perlu wujud penyelarasan dan perancangan lebih kemas antara kerajaan dan pemain industri dalam menyusun kalendar acara dan rangka promosi bersama bagi menjual Terengganu kepada pelancong, sekali gus memastikan rancangan pembangunan prasarana diatur dapat memberikan pulangan yang dikehendaki.
Begitupun, peserta industri juga perlu lebih proaktif dan turut sama terbabit dalam usaha menjual produk yang disediakan dan tidak seharusnya terlalu manja dan mengharapkan sentiasa disuap kerajaan negeri. Mereka perlu mencontohi pengusaha di negeri lain terutama Sabah dan Sarawak yang mana pengusaha swasta melabur sama dengan menyertai festival pelancongan di dalam dan luar negara.
Seorang pengusaha pelancongan yang saya kenali mengakui bahawa kerajaan negeri sudah mengambil langkah bersesuaian untuk menyemarakkan sektor pelancongan. Antaranya memudahkan kemasukan menerusi penerbangan terus dari luar negara yang mana kerajaan negeri memberi rebat besar kepada syarikat penerbangan untuk yuran pendaratan dan parkir lapangan terbang.
"Kini sudah ada penerbangan terus dari Singapura ke Kuala Terengganu dan Kertih. Selepas ini akan menyusul dari beberapa negara lain termasuk China," katanya.
Sebenarnya, usaha kerajaan negeri memajukan sektor pelancongan patut dipuji. Tetapi usaha kerajaan perlu juga disokong warganya. Kemasukan pelancong sudah tentu membuka rezeki besar kepada pelbagai kelompok pengusaha termasuk kedai makan, hotel dan pengeluar kraf tangan.
Malangnya, realiti yang tidak berapa enak di sini ialah harga bahan makanan mahal, terutama kepada orang luar (pelancong) yang tidak 'kecek Teganu'. Saya sendiri mengalami dan cenderung untuk menyokong 'generalisasi' ini. Justeru, pengusaha kedai makan terutamanya perlu mengubah strategi menjual bagi mendapatkan 'volume' dan pelanggan berulang, bukannya bersikap sekali cekik ramai lagi pelanggan lain akan datang.
Selain harga makanan, sikap orang ramai dalam banyak keadaan turut menjejaskan usaha 'menjual' negeri ini. Menteri Besar sendiri pernah menegur sikap warga yang tidak menjaga kebersihan dengan membuang sampah merata-rata, waima jika ada tong sampah disediakan sekalipun. Jika perkara ini tidak dibendung usaha mewujudkan bandar yang indah akan sia-sia.
Seperti yang dikatakan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim, pelaburan RM8 juta setahun untuk membersihkan bandar raya ini kurang berkesan kerana mentaliti dan sikap sebahagian penduduk yang masih tidak berubah.
Ini mungkin yang sedang saya fahami sekarang bahawa orang di sini ramai 'gong' kepada orang luar, maka ini amat berbeza dengan tanggapan masyarakat luar terhadap negeri yang kaya warisan seni budaya Melayu ini.
No comments:
Post a Comment