Monday, August 31, 2009

PENDAPAT…

JKKK memalukan Kerajaan Negeri, MB

Oleh Tuan Nik Tuan Mat

Saya menyokong penuh tindakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menegur sesetengah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang tidak menjalankan tugas dengan baik khususnya dalam menyampaikan bantuan atau sumbangan kerajaan negeri.
















Gambar - Seorang wakil JKKK menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk.

Amat wajar dan munasabah kalau Ahmad Said berang jika ada JKKK tidak amanah dalam melaksanakan tugas.

Mereka yang beria-ia menawarkan diri malah ada menggunakan wakil rakyat untuk mendapatkan jawatan tetapi tidak memenuhi ikrar untuk bekerja demi rakyat.

Kini ada laporan mengatakan masih ramai rakyat Terengganu yang mana sesetengah JKKK tidak menyampaikan sumbangan buah kurma dan air zam-zam kepada rakyat seperti yang diarahkan.

Ahmad Said sudah pasti ‘naik angin’ kerana kerajaan negeri memang merancang untuk mengagihkan 300,000 bungkus buah kurma dan air zam-zam itu kepada 300,000 buah rumah di seluruh negeri.

Program agihan air zam-zam dan kurma ini dibuat pada minggu pertama atau kedua bulan puasa ini.

Kerajaan Negeri membelanjakan RM8.3 juta untuk membeli kurma dan air zam-zam untuk diagih kepada umat Islam di Terengganu pada bulan Ramadan ini.

Menurut Ahmad Said, kebanyakan laporan JKKK tidak menyampaikan sumbangan melibatkan kawasan di sekitar Kuala Terengganu.

"Setiap JKKK perlu menyerahkan sumbangan tersebut dari rumah ke setiap rumah namun ada di kalangan JKKK tersebut memberikan sumbangan itu di masjid selepas selesai menunaikan solat tarawih.

"Ini menyebabkan ada yang menerima dan ada yang tidak menerima sumbangan tersebut, malah ada yang menerima lebih daripada sepatutnya," ujarnya kesal.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana JKKK yang menyalahgunakan amanah yang telah diberikan.

Saya menyokong penuh Ahmad Said mengambil tindakan terhadap mereka itu kerana ia menjejaskan maruah kerajaan negeri dan beliau sendiri.

Lagipun, kerajaan sudah menyediakan sumbangan itu lebih daripada mencukupi.

Ahmad Said pasti malu jika sumbangan tidak sampai kerana pada sidang DUN baru-baru ini beliau member jaminan ia akan dibahagikan untuk seluruh rakyat Terengganu.

Malah pada sidang DUN itu, Ahmad Said ditanya mengenai siapa yang mendapat kontrak bekalan dan sebagainya, selain bagaimana caranya sumbangan akan disampaikan.

Sebagai rakyat biasa, saya terkilan jika rakan dan saudara saya tidak mendapat bantuan berkenaan.

Walaupun saya sudah merasainya tetapi saya kesal dan marah jika ada rakyat Terengganu lain tidak menerimanya.

No comments:

Post a Comment