Sumber: Sinar Harian
Kira-kira RM20,000 diperuntukkan untuk Kejohanan Wau Tertutup Peringkat Terengganu yang dijadualkan berlangsung tahun depan di daerah ini demi menyemarakkan permainan itu ke tahap lebih baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, perkara itu diputuskan sendiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shaberry Cheek ketika melakukan lawatan pada program Pertandingan Wau Naik Tertutup di Kampung Mak Cili, Air Putih.
“Beliau menunjukkan minat terhadap penganjuran sukan ini, namun mencadangkan agar pertandingan itu diadakan dengan lebih besar membabitkan penyertaan dari luar,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Wau Tertutup di Kampung Mak Cili melibatkan penyertaan hampir 40 orang dari kampung berkenaan.
Menurutnya, pertandi-ngan wau tertutup itu boleh dilaksanakan pada Mac tahun depan dengan penyertaan dari seluruh daerah di negeri ini.
Beliau (Ahmad Shaberry) menyokong sepenuhnya penganjuran aktiviti ini, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Mak Cili (JKKK) dipertanggungjawabkan untuk mengadakan program berkenaan,” katanya.
Menurut Wan Abdul Hakim, inilah masanya sukan tradisional dimartabatkan ke tahap tertinggi demi memastikan permainan itu mampu dikomersialkan untuk memberi keuntungan kepada semua pihak.
“Kampung Mak Cili sudah sinonim dengan pertandingan wau, apa yang membanggakan permainan ini mampu menarik perhatian semua lapisan masyarakat seperti kanak-kanak, remaja, wanita dan veteran untuk menyertainya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Mak Cili, Maidin Hassan, 54, melahirkan rasa gembiranya kerana mengetahui pertandingan wau bakal dinaiktarafkan demi memberi ruang kepada pencinta permainan itu menonjolkan kreativiti dan kebolehan.
“Ini tahun keempat sukan ini dijalankan, sebanyak 173 wau dipamerkan dalam pelbagai bentuk, seperti burung dan bulan,” katanya.
Menurutnya, JKKK Mak Cili mengadakan pertandingan wau setiap tahun berikutan permintaan penduduk amat tinggi.
“Keseronokan penduduk bertambah apabila Kementerian Belia dan Sukan memberi peruntukan besar untuk pertandingan ini.
“Saya akan melakukan yang terbaik demi merealisasikan harapan kementerian berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment