Monday, September 7, 2009

150 pemancing China rebut Piala Kenyir

Kira-kira 400 pemancing akan berentap merebut gelaran juara pertandingan memancing Piala Kenyir di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bermula 2 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, pertandingan yang dijalankan selama tiga hari itu akan menyaksikan penyertaan kira-kira 150 pemancing dari China.

Katanya, pada pertandingan yang menawarkan hadiah berjumlah RM70,000 termasuk dalam bentuk wang tunai, pihaknya kita menjemput 'kaki pancing' dari China yang merupakan aktiviti rekreasi yang paling diminati di negara itu.

''Berdasarkan maklumat yang kita peroleh, lebih 100 juta rakyat negara itu merupakan peminat 'hardcore' aktiviti berkenaan.

''Melalui cara ini, kita akan mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong dari China untuk mengunjungi Terengganu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Lawatan Media China ke Tasik Kenyir di Riyaz Heritage Resort di kelmarin.

Za'abar berkata, kerajaan negeri ingin menjadikan pancing sebagai sebahagian daripada aktiviti yang akan membantu meningkatkan industri pelancongan di negeri ini.

''Aktiviti rekreasi ini bukan sahaja boleh diadakan di Tasik Kenyir yang menawarkan aktiviti memancing di kawasan air tawar tetapi ia juga boleh dilakukan di kawasan laut.

''Setakat ini, kita dapat mengenal pasti kawasan di Pulau Tenggol, Dungun dan Pulau Redang, Kuala Terengganu untuk diadakan aktiviti itu,'' ujarnya.

Katanya, kedatangan media China yang khusus kepada aktiviti pancing itu akan membantu kerajaan negeri mempromosikan Terengganu kepada rakyat negara tersebut.

''Sebanyak 16 media termasuk majalah dan portal menyertai lawatan kali ini dan berdasarkan maklum balas yang diterima, kita mampu menjadikan ia satu tarikan pelancongan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment