Thursday, September 10, 2009

6,000 nelayan terima elaun sara hidup

Kira-kira 6,000 orang nelayan berdaftar di negeri ini bakal menerima elaun sara hidup nelayan sebanyak RM200 setiap seorang dengan kumpulan pertama menerimanya hari ini di Kijal, Kemaman.

Seramai 95 orang nelayan seluruh Kemaman akan menerima elaun secara tunai tersebut yang akan disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di Balai Nelayan Kijal.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Jelani Hashim memberitahu, kumpulan pertama 95 orang nelayan itu merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan Kijal manakala kumpulan seterusnya akan menerima elaun sama dari semasa ke semasa.

Menurutnya, ketika ini, terdapat 10 persatuan nelayan di seluruh Terengganu dengan lebih 5,000 nelayan berdaftar di bawahnya.

"Selepas kumpulan pertama 95 nelayan di Kijal, sembilan lagi persatuan nelayan di seluruh negeri akan menerima elaun yang sama pada setiap bulan," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di LKIM di Kuala Terengganu semalam.

Jelani memberitahu, pemberian elaun tersebut akan dibuat melalui beberapa buah bank seperti Agro Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan CIMB.

Menurutnya, elaun itu diberi kepada para nelayan bermula tahun lalu yang dibuat serentak di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment