Sunday, September 27, 2009

Akhbar Kosmo! cenderamata kenduri kahwin

Lazimnya majlis kenduri kahwin diserikan dengan pemberian bunga telur kepada tetamu sebagai cenderahati tetapi berbeza pula pada majlis kenduri kahwin di rumah anak pasangan Ab. Ghani Mohd. Nor dan isteri, Hasmah Awang di Kampung Bukit di sini, semalam.

Para tetamu yang datang ke kenduri tersebut diberikan cenderamata senaskhah akhbar kompak Kosmo! sebagai pengganti bunga telur yang diagihkan sendiri oleh Mohd. Nor.

Tidak ketinggalan mengagihkan akhbar tersebut kepada tetamu ialah pasangan pengantin baru iaitu Masitah Ab. Ghani, 24, dan suaminya, Hasrizal Muhammad, 24.

Menurut Ab. Ghani, 63, inisiatif itu dilakukan bukan bertujuan mencari keunikan sebaliknya sebagai sumbangannya kepada Kumpulan Utusan setelah 33 tahun menjadi vendor syarikat akhbar itu.

"Saya menjadi vendor dengan syarikat Utusan Melayu sejak 33 tahun lalu dan tergerak hati saya untuk membalas jasa melalui pemberian akhbar ini," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Masitah, anak kedua daripada tiga beradik adalah seorang akauntan di Putrajaya manakala Hasrizal yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan merupakan kakitangan di Jabatan Kehakiman, juga di Putrajaya.

Sebelum itu, majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Tengku Tengah Zahrah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung di Kuala Ibai di sini pagi semalam.

No comments:

Post a Comment