Nasib sembilan beradik yatim piatu daif yang disiarkan Sinar Harian pada 4 September lalu mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang sanggup turun padang melihat sendiri keadaan keluarga itu, dekat Jabi, kelmarin.
Ahmad yang ditemani isteri, Toh Puan Norliza Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi , Ramlan Ali pergi ke rumah anak yatim yang kematian ibu pada 31 Ogos lalu akibat masalah jantung serta jangkitan kuman.
Sembilan beradik itu adalah Mohd Zuki Maidin, 21; Mohd Zamhuri 19; Mohd Sulaiman 17; Mohd Riduan, 15; Ain Nasehah, 14; Nurul Samihah, 12; Noor Silawati, 10; Mohd Idris, 8, dan Mohd Roslan, 6.
Ahmad yang tiba pada jam 5.30 petang itu bertemu dengan sembilan beradik berkenaan dan bertanya khabar termasuk Mohd Zamhuri yang baru pulang dari Kuala Lumpur.
Menurutnya, beliau sudah meluluskan peruntukan segera membina dua bilik tidur dan dapur rumah untuk dihuni sembilan beradik itu.
“Peruntukan segera diberikan berikutan rumah mereka tidak mempunyai bilik. Saya berpendapat wajar dibina dua bilik iaitu bilik untuk lelaki dan satu bilik perempuan.
“Saya serahkan kepada Cikgu Lan (Ramlan) untuk menguruskan kerja membina bilik tidur yang dianggarkan berjumlah sekitar RM30,000,” katanya.
Ahmad turut berpesan kepada adik-beradik berkenaan terutama yang masih bersekolah supaya belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah kehidupan mereka.
Pada masa sama, Ahmad turut menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM4,000 kepada Mohd Zuki untuk perbelanjaan harian mereka, selain digunakan untuk menanggung persekolahan lima adiknya.
Menteri Besar kemudian menghadiri majlis penyampaian watikah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan berbuka puasa di kediaman rasmi Pegawai Daerah di Pantai Air Tawar.
:Sementara itu, Mohd Zuki melahirkan rasa kesyukurannya atas keprihatinan Menteri Besar menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya.
“Saya akan simpan wang sumbangan Menteri Besar dan orang ramai untuk kepentingan adik saya,” katanya.
Ayah sembilan berberadik itu, Allahyarham Maidin Mohamad meninggal dunia akibat barah leher.
Malang berganda apabila ibu mereka pula meninggal dunia 31 Ogos lalu menyebabkan Mohd Zuki terpaksa menjaga adiknya.
No comments:
Post a Comment