Sumber: Berita Harian
Khabar angin didakwa mainan politik pihak tak bertanggungjawab
PUTRAJAYA: Semua pihak diminta menghentikan segala tohmahan dan khabar angin berhubung pertelingkahan yang kononnya berlaku antara beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu yang dilabel penyokong bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam, berkata pertelingkahan yang dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap Ahmad hingga mewujudkan dua puak bertelagah dalam Umno Terengganu, sebenarnya adalah mainan politik pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) negeri, berkata semua Adun juga sentiasa menyokong segala keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti khususnya dalam mengekalkan kerajaan sedia ada.
"Sebenarnya keadaan di Terengganu (Umno) tidak ada masalah dan isu besar cuma tindakan sesetengah pihak yang cuba memperlihatkan seolah-olah di Terengganu ada masalah," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Pertemuan selama lebih sejam itu turut dihadiri enam Adun lain iaitu Muhammad Pehimi Yusof (Kota Putera), Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Ramlan Ali (Jabi), Nani Mohammad (Hulu Besut) dan Wan Mohd Hakim Wan Mokhtar (Air Putih).
Din yang juga jurucakap bagi Adun yang hadir semalam berkata, semua Adun juga akur dengan pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar oleh Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selepas pilihan raya umum lalu, menggantikan Idris yang juga Adun Jertih.
"Hubungan kita (Adun) dengan Menteri Besar macam biasa dan tidak ada masalah kerana kita akur dan patuh dengan pelantikan yang dibuat oleh Tuanku dan kita tidak akan sekali-kali derhaka kerana kita setia kepada baginda," katanya.
Kemelut dalaman kepemimpinan Umno negeri dikatakan berpunca daripada tindakan Ahmad tidak melantik wakil rakyat sebagai Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada ketua Umno bahagian yang turut diberi kuasa melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Berikutan itu, sekurang-kurangnya 10 Adun melakukan beberapa tindakan sebagai protes, antaranya memboikot persidangan DUN selain didakwa mahu menyertai pembangkang walaupun desas-desus itu dinafikan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas mengenai pertemuan itu, Din berkata, ia adalah pertemuan biasa bagi membincangkan perkembangan politik di Terengganu.
"Keutamaan kita (Adun) untuk mengekalkan kekuatan politik yang ada di Terengganu, tetapi keadaan politik itu sendiri memberi peluang kepada orang lain untuk cuba mengambil kesempatan bagi melemahkan perpaduan yang ada," katanya.
Mengenai desas-desus bahawa beberapa Adun Terengganu mengadakan perjumpaan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Din berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.
"Saya tidak terbabit dan tidak tahu langsung mengenai perkara itu," katanya.
No comments:
Post a Comment