Thursday, September 17, 2009

Kerajaan Terengganu biayai 33 imam tunai haji ke Mekah

Seramai 33 imam yang bertugas dalam kawasan Mukim Kuala Terengganu masing-masing akan mendapat imbuhan tambang bagi menunaikan fardu haji sejumlah RM3,792 setiap orang.

Imbuhan itu diberikan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai menghargai jasa dan sumbangan golongan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, Khazan Che Mat berkata, Terengganu adalah satu-satunya negeri yang memberi imbuhan sedemikian dan kajian memperkenalkan skim itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kami akan mengkaji pendekatan yang bersesuaian untuk diambil dalam usaha memperkenalkan skim imbuhan kepada kesemua imam dan paling utama adalah mereka perlu berkhidmat dengan sebaiknya.

“Sebelum ini, seramai 47 imam telah menerima bayaran masing-masing, membabitkan jumlah keseluruhan seramai 86 orang, golongan terpilih adalah mereka yang berkhidmat lebih 10 tahun,” katanya.

Khazan berkata demikian pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Tambang Menunaikan Haji Imam/ Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu, Ganjaran Persaraan Imam/Bilal dan Sagu Hati Kematian Imam/Bilal Serta Imbuhan Imam/Bilal Masjid Mukim Kuala Terengganu di Dewan Terbuka JHEAT, semalam.

Sementara itu, Ibrahim Majid, 61, berkata, pembayaran imbuhan berkenaan secara tidak langsung meningkatkan lagi hasratnya menunaikan fardu haji buat kali kedua.

“Sememangnya saya bercita-cita untuk ke tanah suci selepas berpeluang berbuat demikian pada 2005 lalu.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha menyampaikan imbuhan ini kepada kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment