Tuesday, September 29, 2009

KDN tumpu usaha kurang jumlah kemalangan maut

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menumpukan usaha mengurangkan jumlah kemalangan di kawasan yang dikenal pasti banyak kemalangan maut tahun depan, selepas jumlah mangsa maut dalam Ops Sikap ke-20 berakhir kelmarin, meningkat sebanyak 27.4 peratus berbanding tahun 2008.

Bilangan kes kematian dalam Ops Sikap kali ini bertambah 57 kes berbanding 208 kematian tahun lalu, manakala kemalangan maut pula mencatatkan peningkatan sebanyak 29.56 peratus atau bertambah 55 kes daripada 186 sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dalam usaha mengurangkan jenayah, kementerian mengenal pasti 50 kawasan panas, justeru, akan menggunakan kaedah sama dengan memberi tumpuan kepada lokasi yang akan dikenal pasti banyak kemalangan maut.
Katanya, adalah penting untuk semua pihak berkaitan melihat kepada kemalangan berlaku dan memberi tumpuan kepada kawasan tertentu yang sering terjadi kemalangan.

Bagaimanapun, yang jelas katanya, beliau sangat kecewa dan sedih dengan angka kematian tinggi dicatatkan dalam Ops Sikap ke-20, berakhir kelmarin.

“Saya kadang-kadang seperti nak hilang akal pun ada memikirkan mengenai kadar kemalangan maut yang terus meningkat, sebab sudah tidak tahu apa lagi hendak dibuat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Terengganu di Marang, semalam.

Beliau turut menyerikan majlis sambutan hari raya yang dihadiri 10,000 penduduk sekitarnya.
Hishammuddin berkata, beliau melihat Ops Sikap dilaksanakan seperti biasa, tapi jumlah kematian tetap meningkat dan keadaan itu sangat menyedihkan.

"Tiap-tiap tahun kita lihat tragedi berulang dan ini saya harap pihak berkenaan dapat memperhalusi sekali lagi (langkah mengatasi) selepas meneliti laporan mereka nanti.

"Inilah kali pertama saya memimpin kementerian ini, jadi biar saya dapat maklum balas daripada semua agensi berkaitan terlebih dulu, sebelum kita putuskan mengenai langkah pencegahan," katanya.

Perangkaan juga menunjukkan bilangan kemalangan secara keseluruhan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 8.37 peratus daripada 15,996 kemalangan yang berlaku dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam pada itu, penunggang motosikal terus menjadi penyumbang terbesar korban jalan raya dengan 147 kematian berbanding 76 pengguna kereta pada Ops Sikap kali ini.

Ops Sikap ke-20 selama 15 hari bermula 13 September lalu membabitkan lebih 2,000 penguat kuasa termasuk polis, bomba dan ambulans dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut.

No comments:

Post a Comment