Pergolakan dalam UMNO Terengganu kini mula menampakkan tanda-tanda pemulihan apabila pihak yang terlibat dilihat mula kembali ke landasan asal perjuangan dengan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata walaupun sebelum ini banyak pihak yang beranggapan masalah dalaman Umno Terengganu tidak dapat diselesaikan,
namun sifat keikhlasan, kejujuran dan meletakkan agenda parti melebihi agenda peribadi menjadi kunci penyelesaian masalah itu.
"Saya tidak tengok kemelut UMNO Terengganu ini seperti ramai melihatnya seolah-olah berada dalam keadaan teruk, jadi nak kata kemelut pun... saya dengarlah orang kata, orang cakap dan orang tulis.
"Tetapi dalam hati kecil saya akhirnya kita boleh buktikan ia bukanlah satu kemelut yang tidak boleh ditangani," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri dan majlis perjumpaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Exco, Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Semua ADUN dan Ahli Parlimen UMNO menghadiri perjumpaan itu kecuali Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail dan Adun Paka, Zakaria Abdullah.
Hishammmuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kehadiran ramai wakil rakyat dan pucuk pimpinan bahagian jelas membuktikan kepada semua pihak bahawa UMNO Terengganu tidak berpecah seperti tanggapan sesetengah pihak.
"Ia hanya memerlukan kita duduk bersama menyelesaikan apa yang perlu ditangani secara bersua muka dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan di peringkat bahagian," katanya.
Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan asas perjuangan pemimpin dalam UMNO tidak pernah berubah iaitu semangat untuk bergerak sebagai satu pasukan demi satu hala tuju dan matlamat iaitu pastikan UMNO sentiasa relevan kepada orang ramai.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan masalah akan terus mendatang pada masa akan datang, tetapi dengan sifat yang ada pada pemimpin UMNO negeri yang mementingkan parti dan rakyat, apa jua rintangan diyakini dapat diatasi.
Beliau berkata, pemimpin UMNO perlu memastikan apa jua tindakan yang dilakukan oleh mereka mestilah tidak sampai ke tahap mengeruhkan keadaan kerana ia akan memberikan bonus kepada musuh parti, sekali gus akan merugikan parti sendiri.
No comments:
Post a Comment