Sumber: Berita Harian
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berharap kunjungan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Hulu Terengganu hari ini untuk bertemu empat sayap Umno negeri, dapat memulihkan kemelut dalaman parti.
Tanpa mahu membuat andaian mengenai perkara itu, beliau berkata, tiada sebarang mesyuarat khas diatur khusus untuk membincangkan krisis dalaman parti, sebaliknya hanya pertemuan Timbalan Presiden Umno dengan pergerakan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri di Hulu Terengganu.
"Saya tak boleh buat andaian, tetapi kita harap begitulah (masalah dalaman Umno pulih)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri dan majlis penyerahan zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), di sini, semalam.
Ditanya adakah wakil rakyat dalam kumpulan penentangnya akan hadir dalam perjumpaan itu, Ahmad berkata, beliau tidak boleh memberi jawapan bagi pihak lain, sebaliknya menegaskan menjadi tanggungjawab ahli parti untuk hadir dalam pertemuan dirancang bersama pimpinan tertinggi parti.
"Sepatutnya apabila Timbalan Perdana Menteri datang, kita sebagai ahli parti kena datang. Apabila pemimpin tertinggi negara hadir, sebagai ahli parti, apatah lagi sebagai wakil rakyat, kita perlu hadir pada setiap pertemuan bersama pemimpin. Itu tanggungjawab kita kepada parti dan rakyat," katanya.
Ahmad berkata, dalam rangka lawatan ke Hulu Terengganu hari ini, Muhyiddin akan berjumpa pemimpin empat sayap Umno, diikuti program penyampaian bantuan Aidilfitri kepada golongan kurang bernasib baik dan anak yatim di daerah itu.
Muhyiddin yang turut diiringi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kemudian dijangka menghadiri majlis berbuka puasa dan solat Tarawih di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.
No comments:
Post a Comment