Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan memberi penekanan terhadap aspek pelancongan dan pembangunan Tasik Kenyir yang membabitkan peruntukan lebih RM10 juta tahun ini.
Pengurus Besar Ketengah Hamzah Ngah berkata, menerusi peruntukan itu Ketengah mengenal pasti beberapa projek, antaranya membina terminal pelancongan Gawi serta menaik taraf kemudahan di Taman Herba dan Pulau Sah Kecil di Tasik Kenyir.
"Ini akan membolehkan Tasik Kenyir terus berkembang sebagai sebuah pusat pelancongan utama di Terengganu pada masa akan datang," katanya dan menambah bahawa tahun ini Ketengah menerima peruntukan RM25 juta di bawah projek dana khas kerajaan Persekutuan.
Katanya peruntukan yang terbesar ialah bagi sektor pelancongan iaitu RM10.3 juta, infrastruktur dan sosial (RM6.3 juta), program perumahan (RM3.2 juta) serta pembangunan modal insan dan pendidikan (RM2.2 juta).
Selain itu, pembangunan ekonomi dan usahawan (RM1.7 juta), pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (RM800,000) dan pembasmian kemiskinan (RM500,000), katanya.
Hamzah berkata melalui peruntukan itu, pembangunan di wilayah Ketengah akan terus berjalan dengan rancak kerana peruntukan tambahan itu membolehkan agensi berkenaan memberi penekanan kepada sektor- sektor tersebut.
Katanya di bawah projek infrastruktur dan sosial, pihaknya merancang untuk membina dan menaik taraf jalan di kawasan Cheneh Baharu serta penyelenggaraan sistem perparitan di kawasan berkenaan.
No comments:
Post a Comment