Tuesday, September 29, 2009

MB malu lihat kampung setinggan

Sumber: Utusan Malaysia

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sedih dan malu dengan keadaan perkampungan setinggan di beberapa kawasan sekitar bandar Kuala Terengganu yang tidak terurus dan mencemarkan pemandangan,

Beliau berkata, pemandangan tersebut sekiranya dibiarkan boleh memberikan imej buruk kepada negeri itu yang terkenal dengan pelbagai lokasi pelancongan menarik.

"Saya begitu sedih dan malu setiap kali melihat perkampungan setinggan seperti di Kampung Ladang, Kampung Pulau Kambing dan Kampung Tanjung di mana kemudahan infrastrukturnya tidak lengkap selain sistem pengairan yang tidak sistematik.

"Selain itu, kebanyakan para remaja terlibat dengan dadah serta ada yang menjadikannya sebagai rumah tumpangan untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah," katanya.

Beliau berucap di depan kira-kira 100 orang ahli Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu dalam sambutan Majlis Hari Raya anjuran persatuan tersebut di Hotel Primula semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan tentang kedaifan keadaan penduduk perkampungan setinggan di sekitar Kampung Tanjung yang tidak terurus di mana keadaan sistem longkang dan jalan raya yang tersumbat dan berlubang.

Selain itu, keadaan rumah yang tidak selaras dan hanya menggunakan pagar zink memberikan imej yang buruk kepada negeri itu.

Mengulas lanjut, beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan tidak membangunkan kawasan perkampungan tersebut.

Jelasnya, kerajaan negeri kini dalam usaha membangunkan beberapa kawasan tersebut secara berperingkat-peringkat.

Tambahnya, nilai harga tanah di kawasan tersebut yang amat tinggi menyebabkan projek-projek pembangunan tidak dapat dijalankan secara serentak.

"Contohnya, nilai tanah di Kampung Ladang yang mencecah sehingga RM4 juta hanya untuk seekar tanah dan hanya sesuai dibina 12 unit rumah sahaja.

"Jika dibina rumah bertingkat, pasti ada yang tidak bersetuju kerana tidak mahu membayar yuran pengurusan pula.

"Oleh itu kita tiada pilihan lain selain terpaksa membangunkan juga kawasan tersebut walaupun melibatkan peruntukan yang tinggi kerana keperluan pembangunan," katanya.

No comments:

Post a Comment