Wednesday, September 30, 2009

Pelajar dibedah hasil pembiayaan Kerajaan Negeri Terengganu

Daripada Kamaruddin Mat Akib di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur
Janji kerajaan negeri Terengganu untuk membiayai pembedahan budak jantung berlubang berusia 7 tahun, ditepati.

Tepat jam 9.30 pagi tadi, Mohd. Ayub Mansor dari Kampung Simpang Tok Ku, Cabang Tiga selesai menjalani pembedahannya.

Pembiayaan pembedahan sebanyak RM30,000 ditanggung kerajaan negeri Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada 29 Ogos lalu berjanji akan membantu pelajar berkenaan mendapatkan rawatan untuk penyakit dihadapinya.

Menurut pakar bedah jantung yang ditugaskan Dr. David Khoo Sinkeat pembedahan berlangsung selama dua jam setengah pagi tadi, bermula jam 9.30 pagi.

Perbedahan berlangsung di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur dan hasil pemeriksaan didapati satu lubang di jantung pesakit bersaiz satu inci.

Melalui pembedahan itu lubang sudah ditampal dan terdapat satu saluran darah yang lebih telah diikat.

Dijangka dengan rawatan itu jantung Mohd Ayub akan berfungsi dengan baik selepas ini.

Pesakit dilaporkan belum stabil sepenuhnya dan masih menggunakan perlatan pernafasan serta masih ditempatkan di unit rawatan khas di bawah pengawasan pasukan pembedahan yang diketuai oleh Dr.David.

Pesakit ditemani oleh ibubapa serta neneknya sepanjang berlangsungnya pembedahan dan rawatan tersebut.

Mohd Ayub Mansor, murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga, menghidap penyakit itu sejak dilahirkan dan sebelum ini terpaksa menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), setiap enam bulan sekali.

Pada 20 Ogos lalu, Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud melawat mangsa di rumahnya semalam (29 Ogos) dan menghulurkan sumbangan wang tunai bagi menyambut Aidilfitri.

Ahmad Said memberi jaminan kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos rawatan pesakit yang dianggarkan RM30,000.

Keluarga Mohd Ayub gembira selepas Kerajaan Negeri sanggup menanggung kos rawatan pembedahan.

No comments:

Post a Comment