Friday, October 2, 2009

RM100 juta tanam semula sawit

Sumber: Utusan Malaysia

Felda menyediakan peruntukan RM100 juta bagi melaksanakan projek tanaman semula kelapa sawit di negeri ini secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini.

Pengurus Besar Wilayah Felda Terengganu, Faizoull Ahmad berkata, penanaman semula itu dilaksanakan kerana kebanyakan pokok kelapa sawit di negeri ini telah melebihi usia 25 tahun.

Katanya, ia sejajar usaha menanam semula pokok kelapa sawit yang berusia lebih 25 tahun menjelang 2012 yang diumumkan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor baru-baru ini.

"Kawasan terlibat ialah Felda Neram 1, Felda Neram 2, Felda Cerol, Felda Kerteh 3, Felda Kerteh 4, Felda Kerteh 5, Felda Chalok, Felda Tersat dan Felda Tengkawang.

"Kos keseluruhan membabitkan peruntukkan RM100 juta," katanya selepas Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Felda Wilayah Terengganu di Tepoh semalam.

Mengulas lanjut, Faizoull berkata, para peneroka yang terlibat dalam penanaman semula kelapa sawit itu akan menerima RM1,000 sebulan untuk empat hektar tanah pada tahun pertama.

"Pada tahun kedua, mereka akan menerima RM1,200 sebulan dan pada tahun kedua pula RM1,300 sebulan.

"Pada tahun keempat iaitu ketika pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil, para peneroka akan menerima RM1,500 sebulan dan jumlah ini tidak termasuk hasil jualan pengeluaran," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan FAMA untuk menanam beberapa tanaman sayuran dalam menjayakan gagasan Felda sebagai Gedung Makanan Negara.

"Antara tanaman yang akan diusahakan dengan kerjasama FAMA ialah cili, terung, bendi dan timun.

"Selain itu, para peneroka di sini juga akan menjalankan usaha menternak tilapia dan lembu selain menanam pisang dan cili," katanya.

No comments:

Post a Comment