Media massa menyumbang peranan besar dalam mempromosikan setiap acara pelancongan di negeri ini.
Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT), Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, sehubungan itu bantuan dan kerjasama media negeri ini amat diharapkan untuk mempromosi Terengganu dengan lebih berkesan pada masa akan datang.
“Pelancongan adalah produk utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
”Pelancongan tanpa promosi tidak akan membawa kita ke mana-mana, malah dalam keadaan tertentu tanpa promosi, setiap agenda pelancongan akan menjadi sia-sia.
“Justeru, strategi promosi yang berkesan sudah tentu dapat membantu memperkenalkan sesuatu produk pelancongan. Dalam konteks ini, pihak media adalah sebahagian daripada elemen yang boleh membantu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa MTPNT bersama media di Restoran B’Beteng, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, di sini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelanco-ngan, Kebudayaan, Kese-nian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.
Ahmad Fathil berkata, sehingga kini pihaknya berpuas hati dengan kerjasama media-media di negeri ini dan berharap sokongan itu akan berterusan.
Sementara itu, beliau turut berharap pada tahun hadapan, pihaknya dapat bekerjasama lagi dengan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) dalam penganjuran pertandingan fotografi yang mempunyai khalayak tersendiri, di samping mem-bolehkan peserta merakamkan segala-galanya mengenai Terengganu.
“Misalnya, pada tahun ini kita bekerjasama de-ngan Kawat menganjurkan Pertandingan Fotografi Sempena Pesta Terengganu 2009 dan meskipun tempohnya agak singkat, na-mun kita menerima banyak penyertaan.
“Sehubungan itu, kita berharap agar pertandi-ngan ini dapat dianjurkan kembali pada tahun depan dengan skop yang lebih luas bagi memperkasakan industri pelancongan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun lalu dengan kerjasama Kawat pihaknya turut me-ngadakan pertandingan fotografi sempena ‘Colours of Malaysia’.
“Kita juga difahamkan Kawat pernah menganjurkan pertandingan fotografi Wajah-Wajah Terengganu dan mendapat lebih 1,000 penyertaan dari seluruh negara.
“Inilah yang kita mahu dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kawat bagi menjayakan program seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment