Tuesday, September 15, 2009

Polis, tentera pencen kurang RM720 layak terima bantuan JKM

Sumber : Bernama

Pesara polis dan tentera yang berpendapatan kurang RM720 sebulan layak menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, berkata bantuan itu akan dapat meringankan beban pesara anggota keselamatan berkenaan yang menerima pencen antara RM66 hingga RM400 sebulan serta tidak mempunyai sumber kewangan lain.

"Ramai di antara mereka (pesara) tidak tahu bahawa mereka layak menerima bantuan JKM. Sebenarnya mereka layak, jika memenuhi kriteria yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 6,000 bungkusan raya Wanita Umno kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera di Kuala Lumpur semalam

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (dua dari kanan), yang juga Ketua Wanita UMNO, menyampaikan cenderamata Aidilfitri kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin (dua dari kiri), pada majlis Jalinan Rakyat Ramadan Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan (kanan) dan Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Kamalia Ibrahim (kiri).

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, berkata JKM telah diminta berurusan dengan persatuan bekas polis dan tentera serta Jabatan Hal Ehwal Veteran kedua-dua pasukan itu segera bagi mengenal pasti pesara yang layak menerima bantuan berkenaan.

Beliau turut mencadangkan agar kedua-dua pasukan keselamatan itu mewujudkan satu unit khas bagi mengenalpasti pemohon yang layak menerima bantuan itu.

"Saya meminta kedua-dua pasukan (polis &tentera) dan JKM berurusan secepat mungkin untuk mengenalpasti pesara-pesara ini agar proses pemberian bantuan dapat dipercepatkan," katanya.
Sementara itu, Musa yang ditemui pada majlis itu berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dalam masa terdekat bagi membincangkan bilangan anggota yang akan bertugas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, 11 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment