Oleh Zainal Yusof (http://citra-bangsa.blogspot.com)
MENJELANG minggu ketiga Ramadan, berita baik yang diterima ialah hampir separuh dari 10 ADUN yang dikatakan pernah memboikot persidangan DUN Terengganu, bersedia menghulurkan salam perdamaian dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Separuh lagi yang masih berdegil, termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, orang kanannya yang pernah menafikan dia berhajat mahu menjadi Menteri Besar, Datuk Rosol Wahid, seorang ADUN dalam Parlimen Besut, yang dikatakan orang yang setianya hanya kepada Rosol, Datuk Din Adam yang didakwa merasakan dia bekas Exco dan lebih kanan dari ADUN-ADUN lain dan Zakaria Abdullah, ADUN Paka yang tidak diketahui berkelulusan apa ketika dipilih buat pertama kali bertanding di DUN tersebut.
Seorang ADUN yang amat setia kepada Rosol ini kononnya terpilih menjadi calon kerana Rosol yang memilihnya walaupun Idris Jusoh khabarnya mahukan orang lain bertanding di situ – disebabkan Idris banyak bergantung kepada Rosol dalam politik Terengganu, termasuk di Hulu Terengganu, maka Idris bersetuju mendengar cadangan Rosol supaya memilih ‘budak itu’ sebagai calon di situ dan dia menang.
Dari cerita ini, membuktikan Idris ketika memilih calon-calon dalam pilihanraya, ketika dia berkuasa, mengikut selera dia dan selera kawan-kawan dia termasuk selera Rosol, tanpa mengambil kira kepentingan Umno waktu itu.
Jangan hairan, jika ADUN-ADUN ini, yang cetek fikirannya, lebih pentingkan individu tertentu tanpa memperdulikan maruah Umno ketika mereka bertindak untuk melakukan sesuatu yang mereka rasa mampu menggugat Menteri Besar.
Sejarah membuktikan, Idris pernah melarikan diri ke USA kerana menyambung pelajaran apabila berlaku kebakaran rumah pekerja asing di Kerteh dan pemboikotan Konvensyen Umno Negeri Terengganu oleh Pergerakan Pemuda Umno Terengganu suatu ketika dahulu, menyebabkan dia ke Jordan tetapi kali ini, Idris dilihat cuba berselindung di sebalik sehelai lalang.
Kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serius mahu melihat kemelut politik Umno Terengganu ini selesai, contohi bagaimana bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelesaikan kemelut politik Kedah ketika mahu melantik Tan Sri Sanusi Junid menggantikan Tan Sri Osman Aroff dulu.
Apakah Najib tidak ingat peristiwa itu? Ada 22 ADUN di Kedah ketika itu menandatangani satu memorandum kepada Perdana Menteri menolak Sanusi tetapi selepas Dr. Mahathir mengadakan pertemuan seorang demi seorang secara empat mata, kesemua mereka, mengendur dan menyokong Sanusi.
Apakah di Terengganu, Najib tidak terfikir mahu meniru cara Dr. Mahathir ini? Masa sudah berlalu lebih setahun sejak Datuk Ahmad dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan Idris Jusoh. Jika Idris tidak dapat menerima hakikat ini, Najib tidak perlu menghukum Datuk Ahmad tetapi hukumlah orang yang tidak tahu dan tidak mahu menerima hakikat tersebut.
Jika Rosol tidak dapat menerima hakikat bahawa Datuk Ahmad adalah Menteri Besar Terengganu, tidak dapat menerima hakikat bahawa Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Najib perlu menghukum Rosol dan bukan menghukum dan membiarkan Rosol bertindak dan bercakap ikut kehendak dia sahaja.
Kalau Din Adam merasakan dia lebih hebat dari Menteri Besar, Najib kena hantar Din Adam menyambung pelajaran ke mana-mana kolej yang boleh membuatkan dia tahu untuk menerima hakikat. Jika tidak, Umno kena relakan ‘kehilangan’ Din Adam, jika dia memilih untuk tidak lagi setia kepada Umno. Kenapa takut untuk mengenepikan seorang ADUN bernama Din Adam demi kesejahteraan Umno dan BN keseluruhannya di Terengganu.
Begitu juga Zakaria Abdullah dan seorang lagi ADUN yang khabarnya merasakan dia terhutang budi dengan Rosol kerana menyebabkan dia terpilih menjadi calon dan ADUN di bawah Parlimen Besut. Kedua-duanya ini bukan hebat sangat tetapi mereka terlajak perbuatan. Betullah kata pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya.
Kalaulah Najib mahu mententeramkan Umno Terengganu, ‘tukul perlu dijatuhkan’. Jangan layan mereka ini. Jangan beri muka kepada mereka ini. Jangan pedulikan mereka ini. Jangan terima kedatangan mereka kerana mereka adalah perosak parti sebenarnya.
Bayangkanlah, walau apapun alasannya, sanggup mereka ‘memboikot’ kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin walaupun mereka mungkin mempunyai alasan ada tugas lain yang lebih penting?
Mereka yang degil ini, mungkin seronok apabila Muhyiddin menawarkan diri menjadi ‘orang tengah’ atau mahu membantu Hishammuddin bagi tujuan menyelesaikan kemelut ini. Mereka lupa, Muhyiddin mahu ‘mengajar’ mereka dengan memberitahu mereka kepentingan peribadi tidak ada dalam Umno melainkan kepentingan parti dan rakyat.
No comments:
Post a Comment