Wednesday, September 16, 2009

Rakan Muda Ramadan tingkat kualiti belia

Program Rakan Muda Ramadan Khatam al-Quran peringkat Negeri Terengganu 2009 digerakkan dan dilancarkan secara rasmi kelmarin oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Ia dilancarkan di Masjid Bukit Payong, Marang dan bagi merealisasikan hasrat itu, setiap daerah melaksanakan lima program Rakan Muda Ramadan, merangkumi tadarus al-Quran, solat Terawih dan Witir di masjid serta surau terpilih.

Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan seramai 40,000 belia dan beliawanis seluruh negara terbabit menjayakan Program Rakan Muda Ramadan tahun ini.

Razali berkata, ia adalah seiring hasrat kementerian untuk mempertingkatkan kualiti dan sahsiah diri serta membina pekerti terpuji dalam kalangan anak muda.

“Program ini secara tidak langsung mengajak golongan muda untuk membuat persiapan lengkap dalam menghadapi Ramadan dengan mensyukuri dan menghormati kesuciannya.

“Kita juga mengharapkan ia dapat membina kesedaran dalam diri golongan muda akan kepentingan untuk mempertingkatkan penghayatan terhadap Ramadan dan ibadat puasa,” katanya.

Menurut Razali, selain itu ia diharapkan dapat mengajak golongan muda dan masyarakat untuk menghayati serta memahami inti pati al-Quran sebagai panduan hidup lengkap dengan memperbanyakkan bacaannya dan mempertingkatkan kefahaman ke atas kandungannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Rakan Muda Ramadan Khatam al-Quran peringkat Negeri Terengganu 2009 yang diadakan di Masjid Bukit Payong, semalam.

:Program adalah anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu serta Pejabat Daerah Marang.

Selain khatam al-Quran beramai-ramai, tazkirah dan ceramah, penyampaian bantuan kepada fakir miskin, majlis berbuka puasa, solat Terawih serta Witir juga turut diadakan.

:Razali berkata, terdapat 1,000 remaja berumur 15 hingga 25 tahun dan penggerak Rakan Muda, sukarelawan Rakan Muda serta masyarakat setempat terbabit dengan program berkenaan di negeri ini.

No comments:

Post a Comment