Monday, September 14, 2009

Riak alam Tasik Kenyir

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD (Utusan Malaysia)

Tasik Kenyir yang terbentang bagaikan lautan melukiskan keindahan alam semulajadi yang memiliki seribu rahsia.

Dalam alunan riak dan gelombangnya yang bening, berenang kawanan ikan-ikan kecil dan besar yang riang dan bebas menikmati kedamaian alam.

Walaupun Tasik Kenyir merupakan sebuah tasik buatan dengan keluasan 38,000 hektar, ia tetap mengekalkan lukisan alam dan bukit-bukau semulajadinya, di mana flora dan faunanya utuh terpelihara merentasi perubahan masa.

Terletak di daerah Hulu Trengganu bersempadan dengan Negeri Kelantan di sebelah barat dan Negeri Pahang di sebelah selatan, Tasik Kenyir merupakan satu panorama di mana alam semulajadi berada di kemuncaknya menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan yang sangat menarik dan mempesonakan.

Keistimewaan Tasik Kenyir bukan semata-mata kerana kejernihan air di dadanya, kehijauan alam yang melambai, bukit-bukau yang memukau dan siulan burung-burung tetapi kerana ia juga menjadi pintu masuk ke Taman Negara yang terkenal di serata dunia.

Keindahan Tasik Kenyir lebih terserlah dengan dihiasi pulau-pulau yang bertaburan di antara riak dan pancaran matahari pagi yang bening dan hening.

Deruan air yang menjunam daripada air-air terjun yang sayup-sayup mengalunkan irama alam.
Desiran aliran sungainya yang jernih membawa ketenangan, kedamaian dan kenyamanan kepada pengunjungnya.

Selain itu dalam nyanyian dan kicauan burung dan mergastua yang penuh keriangan, Tasik Kenyir tersohor dengan kehijauan, keheningan dan ketenangan hutan hujan tropika tertua dunia yang menjelma semenjak 130 juta tahun lampau.

Dengan iklimnya yang panas dan lembab sepanjang tahun, hutan hujan tropikanya amat subur lebih-lebih lagi dengan sumber air melalui sungai-sungai yang mengalir ke tasik yang menjadi habitat kepada pelbagai jenis ikan.

Di tengah-tengah basahan embun pagi dan cahaya matahari yang bersinar di antara celahan dahan-dahan dan dedaunan, para pelancong dibawa menjelajahi hutan hujan tropika yang murni dan sunyi.

Sambil menikmati kemurnian alam, mendaki dan menuruni bukit yang damai, mengharungi sungai dan berakit di jeram beralun, menghirup udara kedinginan ciptaan Tuhan, pelancong dibawa juga mengembara ke kawasan hutan perawan tropika yang berjuta tahun usianya.

Di kejauhan mata memandang, spesies-spesies kayu berharga seperti Keruing, Meranti, Resak, Neram dan Kapur serta pelbagai lagi menjulang awan menutupi wajah langit membiru, menaungi hidupan liar eksotik di bawahnya.

Tasik Kenyir terkenal dengan kepelbagaian bionya yang cukup kaya dengan spesies kayu, tumbuh-tumbuhan, binatang, burung dan serangga yang menghiasi kedamaian alamnya.
Ia berbangga dengan lebih 8,000 spesies 2,500 spesies pokok dan tumbuhan, 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.

Tumbuhan-tumbuhan eksotik seperti periuk kera, pisang hutan, keladi geragsi, orkid-orkid hutan dan pelbagai spesies lain menambahkan lagi warna-warni kepada kedamaian hutan yang menyejukkan.

Hutan yang tidak tercemar ini juga turut menjadi habitat kepada ribuan spesies hidupan dan haiwan.

Tasik Kenyir boleh berbangga dengan lebih 1,000 spesies rama-rama, 370 spesies burung seperti enggang, helang, punai, tiong dan sebagainya serta 200 spesies binatang termasuklah gajah, harimau, harimau bintang, beruang, rusa, kancil, ratusan jenis ular dan juga serangga.

Kesemua binatang ini menjadi sebahagian daripada keunikan rantaian kehidupan yang penuh kedamaian di Tasik Kenyir.

Habitat mereka terus dipelihara dan dikekalkan bagi mempastikan haiwan-haiwan ini tidak pupus ditelan pembangunan.

Demikian juga gua-gua di Tasik Kenyir yang sangat indah dan mengagumkan mata yang memandang untuk menghargai dan menghayatinya.

Bagi pencinta alam, gua-gua di Tasik Kenyir ialah kewujudan lukisan alam yang penuh keunikan dan misteri.

Gua Bewah dan Gua Taat merupakan dua buah gua yang terletak pada bukit batu kapur yang menjulang ke langit.

Kewujudannya hingga kini masih meninggalkan misteri yang belum selesai dibongkar.

Selain peninggalan barang purba, di celah-celah pancaran cahaya matahari, pelancong, pencinta alam dan siapa sahaja boleh menjejaki Gua Taat dan Gua Bewah untuk menghayati sendiri galeri alam.

Selain itu bak kata orang tua, Hilang kabut tampaklah ia' - itulah senario di pagi hari di Tasik Kenyir yang dipagari oleh pelbagai puncak.

Gunung Gagau, Gunung Bongsu, Gunung Tembat, Gunung Raung, Gunung Kachang, Gunung Chergau dan Gunung Gajah Terom yang berdiri gagah mencecah langit nan biru menjadi simbol Tasik Kenyir yang satu.

Kemuncak tertinggi di sekitar Tasik Kenyir ialah Gunung Gagau yang tingginya menyapu awan pada kedudukan 4,514 kaki.

Kedudukannya juga istimewa kerana ia bersempadankan tiga buah negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan dan amat sesuai untuk dijadikan tapak ekspedisi riadah dan juga saintifik kerana kekayaan alamnya.

Mendaki bukit dan gunung serta lurah di hutan hujan tropika Tasik Kenyir ialah riadah yang indah.

Di situ kehijauan, ketenangan, kedamaian dan keagungan terserlah.

Di situ juga merdu kicauan burung, gemersik suara cengkerik serta sayup-sayup suara ungka jauh di pokok yang tinggi.

Lukisan alam ini membawa keinsafan dan kesedaran, betapa kayanya bumi kita yang bertuah.
Dalam hal ini sudah menjadi lumrah alam, setiap yang hidup pasti mati.

Namun tidak semua yang mati, hilang di perut bumi dan tidak lagi dihargai. Di Tasik Kenyir, pokok-pokok yang mati akibat ditenggelami air, menjadi penghias lanskap alam dan tasik yang dikagumi.

Di samping flora hidup yang pelbagai, terpapar pokok-pokok mati yang beraneka bentuk dan penuh seni.

Dahan, ranting serta cabangnya menjadi lukisan artistik dengan dihiasi orkid liar dan paku pakis yang hidup subur di bawah sinaran matahari membentuk satu panorama yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Apa yang menariknya ialah di sesetengah laluan, pokok-pokok mati ini seolah-olah menunduk hormat bagaikan mengalu-alukan pengunjung ke dunianya yang penuh kemurnian.

Keunikan kayu-kayu mati ini telah menjadi satu identiti kepada Tasik Kenyir sebagai manifestasi panorama alam yang telah memikat ribuan pengunjung dan pencinta alam.

No comments:

Post a Comment