Pembangunan Modal Insan akan terus menjadi agenda Kerajaan Negeri dalam melahirkan sebuah negeri dan masyarakat yang maju dan terbilang.
Menurut Penyelia Kanan Kemas, Rosli Ahmad, Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensi seperti Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) perlu berganding bahu bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Kita faham konsep ‘melentur buluh biarlah dari rebung’, dan kini menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak sejak berusia lima dan enam tahun lagi,” katanya.
Menurutnya, bagi memberi impak kepada perkembangan potensi kanak-kanak Pra Sekolah, Kerajaan Negeri merealisasikan penubuhan TBK Kids, iaitu sebuah tabika Kemas yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Melalui kaedah ini, kanak-kanak Pra Sekolah didedahkan dengan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan bahasa Inggeris secara interaktif melalui penggunaan cakera padat interaktif melalui komputer,” katanya.
Rosli berkata, dia amat berbangga dalam konsep itu kerana generasi baru yang celik minda dalam bidang komputer akan dapat dilahirkan, sekali gus melahirkan masyarakat yang maju dan berdaya saing dalam bidang tersebut.
“Semua guru Tabika Kemas perlu dipertingkatkan dari segi teknik pengajaran dan pembelajaran, mereka semua telah dihantar untuk menjalani kursus bagi mendalami pembelajaran TBK Kids,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini dua Tabika Kemas di da-erah ini dilengkapi dengan kemudahan terbabit melibatkan hampir 60 kanak-kanak Pra Tadika.
Tabika terlibat ialah Tabika Kemas Gong Pauh dan Fikri, buat masa ini potensi dan perubahan yang diberi oleh kanak-kanak terbabit adalah menggalakkan,” katanya.
Rosli turut mengharapkan, ibu bapa memberi perhatian dan sokongan sewajarnya kepada anak-anak yang terlibat dalam merealisasikan hasrat melahirkan kanak-kanak Pra Tabika yang celik komputer dan mahir teknologi maklumat.
“Saya sedang memantau perkara ini bagi memastikan segala-galanya mengikut matlamat yang disasarkan, sokongan Kerajaan Negeri memberi semangat kepada kita untuk memberi yang terbaik kepada TBK Kids,” katanya.
No comments:
Post a Comment