Sumber: Sinar Harian
Pemilihan tujuh pemain T-Team yang dipinjam untuk menghadapi saingan Piala Malaysia tidak akan menjejaskan perkembangan pasukan berkenaan dalam saingan Liga Super, musim depan.
Mereka adalah Mohd Norhisyam Hassan (Kelantan) Azrul Hazran Amiludin Baki, Shafuan Adli Shaari (Perak) Md Haris Safwan Md Kamal, Rosdi Talib, Muhd Fakrurazi Musa (KL Plus) dan Hairuddin Omar (Negeri Sembilan).
Penolong pengurus pasukan T-Team, Rosdi Awang berkata, pihaknya masih memerlukan perkhidmatan pemain berkenaan dan apabila mereka selesai menghadapi saingan Piala Malaysia nanti, mereka akan kembali beraksi bersama pasukan T-Team bagi menghadapi Liga Super musim depan.
“Kontrak mereka bersama pasukan T-Team akan berakhir 30 September ini dan kami yakin mereka akan menghadiri proses penyambungan kontrak yang akan diadakan awal Oktober ini untuk terus berkhidmat di bawah pasukan T-Team,” katanya.
Menurut Rosdi, jika kesemua pemain lama menyambung kontrak bersama-sama T-Team, pihak pengurusan tidak bercadang untuk mengambil pemain lain.
“Kami meminjamkan pemain yang menunjukkan pencapaian cemerlang.
“Justeru, kami tidak akan merombak pasukan sedia ada, tambahan pula, perkhidmatan mereka masih diperlukan pasukan T-Team,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus mempertingkat kemahiran setiap pemain dengan mengekalkan jurulatih sedia ada.
“Pasukan yang baru pertama kali layak ke Liga Super tentu sukar bersaing dengan pasukan yang sudah lama menyertai liga itu tetapi kami akan terus bersaing bermain dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh,” katanya.
No comments:
Post a Comment