PENDAPAT…
Oleh Pok The Bakap
Pembangkang meminta UMNO tidak menggunakan isu pembasmian kemiskinan sebagai cara untuk meraih perhatian rakyat bahawa parti kerajaan juga turut membawa dasar perjuangan Islam.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib berkata, mana-mana kerajaan sekalipun akan bercakap mengenai kemiskinan dan berusaha mengeluarkan parti masing-masing daripada belenggu tersebut.
Masalahnya apa? Apakah PAS takut rakyat akan membandingkan UMNO dengan PAS dalam konteks membasmi kemiskinan atau membantu rakyat keluar dari kepompong kemiskinan?
Atau kerana PAS tidak mampu melakukannya?
Umpamanya Kelantan yang memerintah sejak 1990 – 29 tahun kini – apakah kemiskinan sudah berubah walaupun mendakwa memerintah MEMBANGUN BERSAMA ISLAM?
Apa juga dakwaan PAS atau Harun sendiri, kenyataannya ialah ia bergantung kepada sesebuah kerajaan – komited atau tidak untuk membantu rakyat.
Kerajaan yang pemimpinnya asyik berceramah dan dalam setiap perkara cuba mendapatkan milage politik, tidak akan ke mana-mana.
Kepimpinan Datuk Ahmad Said yang meletakkan kepimpinan melalui MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN akan menyaksikan kemiskinan akan berkurangan.
Dengan pembentangan bajet 2010 nanti akan mendatang, kita akan melihat bagaimana kesan dan usaha UMNO membantu rakyat Terengganu dalam semua hal.
Kerajaan negeri tidak perlu mendabik dada tetapi lihatlah bagaimana bantuan kepada pelajar, orang tua, bantuan meringankan beban menyambut Hari Raya dan sebagainya akan menyebabkan rakyat sedar bahawa kalau PAS memerintah, segalanya akan lenyap.
PENGALAMAN JADI TELADAN…sepanjang empat tahun PAS memerintah 1999-2004, apakah program untuk rakyat?
Tidak perlu menyatakan apabila membasmi kemiskinan UMNO mendabik dada ia adalah sebuah parti Islam.
Memang satu dunia bercakap membasmi kemiskinan termasuk Parti Demokrat, Republikan dan parti lain di Amerika Syarikat, semuanya berjuang untuk atasi kemiskinan tetapi apakah parti Islam di negara Arab melakukan yang sama seperti UMNO?
Bukan setakat penyokong UMNO yang dapat faedah, orang PAS dan bukan-Islam juga dapat faedah daripada dasar UMNO yang membela seluruh rakyat di Malaysia.
PAS dan Harun jangan bimbang. UMNO tidak akan jadi PAS atau jadi carbon copy kepada PAS. Untuk apa? UMNO boleh tegak sendiri.
Berbuat baik jangan mendabik dada banggakan diri kononnya aku Islam dan sebagainya. Kebaikan adalah yang disuruh oleh Islam jadi kalau UMNO berderma atau membasmi kemiskinan ia sudah melaksanakan apa yang disuruh Allah.
Rakyat mengetahui dan Allah lagi mengetahui. Rakyat nilailah.
Harun sebenarnya mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bahawa UMNO adalah sebuah parti Islam sebenar walaupun tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini.
Perdana Menteri berkata, ini sebab perjuangan UMNO adalah untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam termasuk membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutama di rancangan Felda.
Harun juga bercakap mengenai kaedah Islam.
Selagi orang PAS asyik berfalsafah dan itu ini berkaitan hukum dan sebagainya, selagi itulah kerja tidak akan berjalan kerana untuk berdebat dan mengatakan ia terbaik amat sukar dalam satu-satu perkara.
Tidak apalah, asalkan UMNO ikhlas dan bersedia membantu rakyat dan membasmi kemiskinan, katalah apa yang PAS nak kata.
Yang penting rakyat Terengganu semakin mewah dan makmur di bawah BN berbanding sebahagian besar rakyat Kelantan yang masih miskin di bawah pemerintahan sebuah parti yang mendakwa ia parti Islam – PAS!
No comments:
Post a Comment