“Saya bangga menjadi anak jati negeri ini kerana terlalu banyak kemudahan kewangan disediakan untuk menyambung pelajaran jika dibandingkan dengan anak negeri lain,” demikian luahan penerima biasiswa Yayasan Terengganu, Azarul Azwan Mazri, 18.
Azarul Azwan daripada Manir, yang sebelum ini belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, berjaya mendapat 9A1 dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, akan melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Moscow Medical Akademi, Rusia selama enam tahun.
“Insya-Allah, saya tidak akan mensia-siakan peluang ini dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita menjadi doktor pakar saraf apabila tamat pengajian nanti.
“Bagi saya, Kerajaan Negeri terlalu banyak memberi peluang kepada anak negeri ini untuk belajar ke peringkat lebih tinggi dengan adanya kemudahan pinjaman dan biasiswa yang tidak dapat dinikmati anak di negeri lain,” katanya.
Azarul Azwan berkata demikian kepada :Sinar Harian :ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Pendahuluan Diri Pelajar ke Luar Negara, serta sumbangan duit raya di Kediaman Seri Iman.
Menurutnya, anak Terengganu sepatutnya rasa bertuah dan alasan tidak menyambung pelajaran kerana kekangan kewangan sepatutnya tidak timbul kerana peluang yang diberikan kerajaan begitu banyak di hadapan mata mereka.
Bagi Roainna Mohd Fadzil, 18, yang juga penerima biasiswa Yayasan Terengganu mengakui, kemudahan kewangan untuk pendidikan banyak membantu meringankan beban terutama kepada pelajar sepertinya yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Saya akan mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Universiti Mansoura, Mesir selama enam tahun dan Insya-Allah saya akan belajar bersungguh-sungguh demi memastikan cita-cita menjadi doktor pakar jantung tercapai.
“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana dengan adanya bantuan kewangan sebegini, banyak membantu meringankan bebanan kami sekeluarga,” katanya.
Menurutnya, peruntukan kewangan untuk belajar di luar negara agak tinggi dan mungkin jika tiada bantuan, dia dan rakan lain yang bercita-cita ke luar negara terpaksa melupakan sahaja niat itu kerana masalah kewangan.
Kedua-dua mereka adalah antara 70 pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara bermula hari ketiga Syawal ini di bawah tajaan biasiswa pendidikan Yayasan Terengganu.
No comments:
Post a Comment