Daripada hambali1.blogspot.com
Carek-carek bulu ayam…akhirnya Hishamuddin got the last laugh…
Benarlah ramalan saya pada entri kelmarin (Ahad) bahawa kemelut politik Terengganu akan terlerai sebelum Aidilfitri.
Setidak-tidaknya kini enam daripada ‘Geng 10’ sudah kembali semula ke arus perdana politik Terengganu.
Mereka ialah, Datuk Din Adam (Bukit Besi), Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Ramlan Ali (Jabi), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Pehemi Yusoff (Kota Putera) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut).
Seorang lagi ADUN yang hadir tetapi bukan daripada kumpulan 10 ialah Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar (ADUN Air Putih).
Soal sokong Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar bukan yang terpenting tetapi soal utama ialah sama-sama mendokong UMNO dan kepimpinan negeri yang berketuakan Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjadi perkara utama.
Saya dan semestinya semua rakyat Terengganu yang mahu melihat kiambang bertaut amat lega kerana tengah hari tadi tujuh ADUN selain empat yang terus menyepi – Datuk Rosol Wahid (Ajil), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang),Alias Abdullah (Alor Limbat) dan Zakaria Abdullah (Paka) – tengah hari semalam membuat ikrar di hadapan Hisham untuk memperkukuhkan parti.
Ini sangat penting kerana sekiranya kemelut berlarutan, ia akan menjejaskan peluang UMNO untuk menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.
Berkaitan Datuk Idris Jusoh (Adun Jerteh), beliau sudah menyatakan kepada Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa beliau tidak pernah menentang Ahmad Said.
Tidak apalah, walau apa juga tanggapan orang ramai dan ahli UMNO terhadap Idris, hanya Najib, Hishamuddin dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetahuinya.
Tengahari semalam tujuh ADUN berkenaan membuat pertemuan dengan Hishamuddin di Putrajaya untuk menyatakan sikap dan pendirian mereka untuk kembali ke arus perdana politik Terengganu.
Dengan kembalinya mereka bermakna, Ahmad Said ‘diterima’ sebagai Menteri Besar dan apabila menerima Ahmad Said bermakna mengakui keputusan istana melantik Ahmad Said.
Selepas ini tiada persoalan lagi mengenai Menteri Besar atau juga isu perlantikannya.
Din Adam yang menjadi jurucakap ‘Kumpulan Tujuh’ itu sudah menyatakan ikrar mereka kepada Pengerusi Perhubungan Negeri yang dipertikaikan perananya dengan begitu teruk oleh Rosol sebelum ini.
Dengan pendirian sedemikian bermakna apa yang dipertikaikan oleh Rosol seperti Hishamuddin gagal menyatukan UMNO Terengganu dan menjadi orang tengah antara Kumpulan 10 dan Ahmad Said ternyata terpalit kepada muka Rosol sendiri.
Sudah pasti berita ini akan melegakan semua pihak di Terengganu, lebih-lebih lagi yang mahu melihat pemimpin muda di negeri ini memberikan sumbangan yang sewajarnya.
Kesemua mereka ini adalah golongan muda yang mampu ‘bermain politik dan menyumbang tenaga’ untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Malah, jika mereka terus berada di persimpangan atau di luar lingkungan, peluang mereka untuk meningkat akan tergencat.
Kini bola sudah di tangan mereka. Merekalah yang wakar menentukan ke mana bola akan ditendang.
Bagi saya, potensi beberapa pemimpin muda ini boleh melangkah jauh, bukan sahaja politik bahagian dan negeri tetapi juga pusat.
Dan kepada ADUN yang masih menyepi dan menjauhkan diri, kembalilah segera menyertai rakan mereka yang sudah ‘kembali ke pangkal jalan’.
Letakkan kepentingan perpaduan UMNO sebagai yang terpenting, bukan kesetiaan kepada rakan yang boleh menjahanamkan karier politik sendiri!
No comments:
Post a Comment