Lebih 100 warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) serta anak yatim dan pesakit kronik dari lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, apabila menerima bantuan kewangan bagi membolehkan mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Pemberian dana bantuan melalui Tabung Amanah Masyarakat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sebanyak RM300 bagi setiap keluarga banyak membantu bagi mengurangkan bebanan dalam membuat persiapan, termasuk menyediakan juadah istimewa pada Hari Raya.
Warga emas Wan Hawa@Wan Jara Wan Dagang, 63, dari Kampung Sungai Binjai, bersyukur menerima bantuan berkenaan yang akan digunakan sebaiknya sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
"Saya dah jadi ibu tunggal sejak lapan tahun lalu dan kini tinggal bersama cucu. Dengan bantuan ini dapatlah mak cik sediakan juadah istimewa sedikit berbanding hari biasa dan dapatlah sekurang-kurangnya menampung keperluan dapur," katanya yang turut menerima bantuan RM250 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Ibu tunggal, Zainab Hassan, 67, dari Kampung Tok Dor, bantuan yang diterima akan digunakan sebaiknya terutama membeli barangan keperluan bagi memastikan bekalan makanan tidak putus sepanjang musim perayaan ini.
"Maklumlah saya bukannya orang senang, bantuan RM300 yang diterima ini sangat bermakna bagi keluarga kami yang sentiasa dibelenggu kesusahan," katanya.
Bantuan kepada warga miskin dari Kampung Peroh/Tok Dor, Kampung Landas, Kampung Pela, Kampung Durian Kassim dan Kampung Sungai Binjai itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid.
Turut hadir Pengurus Pembangunan Insan dan Pendidikan Ketengah, Wan Abdul Rahman
Sebanyak RM436,000 hasil keuntungan anak syarikat Ketengah diperuntukkan untuk membantu lebih 1,800 penerima di wilayah Ketengah.
Sementara itu, Wan Abdul Rahman menjelaskan, bantuan yang disediakan Ketengah itu dilaksanakan sejak tiga tahun lalu bagi meringankan beban penduduk miskin dan kurang berkemampuan untuk sama-sama berkongsi kegembiraan menjelang Aidilfitri.
No comments:
Post a Comment