Saturday, October 10, 2009

1 Rumah 1 Graduan perlu disokong

PENDAPAT…

Oleh Jamaluddin Mohd

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berpandangan jauh dan mempunyai visi jelas terhadap pendidikan apabila mahu mewujudkan program 1 rumah 1 graduan.

Saya melihat usaha ini menuju ke arah kecemerlangan pendidikan dan keluarga – sekali gus akan merealisasikan Terengganu sebagai ‘gedung ilmu’.

Selepas mencapai kejayaan memberangsangkan dalam bidang pendidikan sekolah rendah dan menengah, Terengganu perlu menghasilkan sesuatu dalam bidang pendidikan tinggi pula.

Usaha Razif menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir sebagai projek rintis bagi menjayakan hasrat ‘1rumah 1 graduan’ hendkalah disokong.

Kejayaan di Seberang Takir akan membolehkan usaha ini dikembangkan ke DUN lain atau Parlimen Kuala Nerus dengan penyusunan program lebih teratur.

Janji beliau untuk melaksanakan program selewat-lewatnya penghujung tahun ini perlu menjadi kenyataan kerana program ini akan menggerakkan usaha memantapkan keluarga dengan menggapai kejayaan melalui akademik.

Program berkonsepkan anak angkat itu bakal memembabitkan penuntut dua institut pengajian tinggi, iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

“Kita percaya dan yakin usaha untuk menjadikan sifar isi rumah yang tidak mempunyai graduan akan terlaksana dengan lebih mudah agar usaha Kerajaan Negeri untuk muncul sebagai negeri anjung ilmu akan tercapai nanti.

“Malah, kita juga mewujudkan kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di kedua-dua universiti ini untuk mendapatkan penuntut yang secara sukarela ingin menjadi anak angkat,” katanya.

Mendedahkan visi berkenaan pada program Semarak Bestari 1 Malaysia dan sambutan hari raya DUN Seberang Takir di Dataran Permata, di Seberang Takir baru-baru ini, Razif berkata dengan adanya program sedemikian secara tidak langsung memberi lebih motivasi kepada keluarga angkat untuk memastikan anak-anak mereka turut berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti nanti.

Apa yang diharapkan Razif akan merangka program lebih besar daripada program anak angkat dan menjamin keluarga mempunyai kesedaran tentang bagaimana ‘majunya’ keluarga yang mempunyai graduan dalam rumah mereka berbanding dengan yang tiada.

Saya sebagai ketua keluarga berharap Razif akan berusaha keras menjayakan program ini agar ketua keluarga lain yang belum mempunyai ‘ahli graduan’ segera berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment