Wednesday, October 7, 2009

23,677 calon PMR di Terengganu

Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Sultan Sulaiman memakai penutup hidung dan mulut sewaktu menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) di dewan sekolah itu di Kuala Terengganu hari ini.

Seramai 475,182 calon menduduki PMR di seluruh negara bermula hari ini hingga Selasa depan.

Terengganu sahaja mencatatkan sejumlah 23,667 calon termasuk dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan mengambil peperiksaan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata di Putrajaya hari ini daripada 475,182 calon berkenaan, 442,611 adalah calon kementerian manakala bakinya ialah calon swasta, persendirian, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Perantis Tentera, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebanyak 3,496 pusat peperiksaan disediakan membabitkan 28,028 petugas bagi mengendalikan peperiksaan itu.

Muhyiddin berkata demikian selepas melawat pusat pemeriksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8(1) di Putrajaya bagi meninjau perjalanan peperiksaan itu.

Muhyiddin juga mengumumkan Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah mengambil cuti peristiwa atau cuti berganti pada 20 Oktober ini sempena sambutan Deepavali pada 17 Oktober ini.

"Setelah meneliti permohonan dan pandangan yang dikemukakan, Kementerian Pelajaran bersetuju untuk memberi kebenaran kepada sekolah mengambil cuti peristiwa bagi yang mempunyai baki cuti peristiwa dan cuti berganti bagi sekolah yang sudah habis baki cuti peristiwa," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi memudahkan ibu bapa membuat perancangan untuk balik kampung serta mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, katanya, kebenaran cuti itu hanya diberikan kepada sekolah yang memohon dan bukan kelulusan keseluruhan.

Katanya, sekolah yang mengambil cuti berganti pada 20 Oktober ini perlu menggantikan hari persekolahan pada 31 Oktober depan.

No comments:

Post a Comment