Wednesday, October 28, 2009

300 peluang kerja menanti anak tempatan di Setiu

Lebih 1,000 orang hadir untuk mengintai peluang pekerjaan dan latihan yang disediakan Jabatan Tenaga Kerja Terengganu cawangan Setiu dalam Program Penempatan Pekerjaan (3P) di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) dekat Jerteh.

Sebanyak 300 peluang pekerjaan disediakan untuk diisi rakyat tempatan yang disediakan 15 syarikat yang terlibat dalam program sehari bermula jam 10 pagi hingga 3 petang itu.

Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan Setiu, Rosli Omar berkata, program itu melibatkan beberapa pusat latihan yang menyediakan latihan lepasan sekolah dan menawarkan pekerjaan selepas latihan.

Menurutnya, beberapa syarikat terlibat pula menawarkan peluang pekerjaan dengan pelbagai jawatan di syarikat mereka termasuk perladangan, memproses makanan, pasar raya dan agensi lain.

“Hasil pameran dan program ini, sebanyak 133 kekosongan pelbagai jawatan berjaya diisi, manakala selebihnya, borang pemohon diambil untuk tapisan terlebih dahulu,” katanya mengenai program yang terbuka kepada semua pencari kerja itu.

Rosli berkata, sebelum ini ada syarikat perladangan terlibat memohon untuk mengambil pekerja asing bagi mengisi pelbagai jawatan di ladang mereka, tetapi jabatan tidak meluluskan sebelum syarikat berkenaan mencari pekerja tempatan terlebih dahulu.

:Menurutnya, syarikat perladangan itu terlibat dalam pameran ini dan menjalankan temu duga terbuka bagi memilih kakitangan berkelayakan yang berminat mengisi kekosongan jawatan di ladang mereka, termasuk sebagai penyelia ladang dan pemandu.

“Gaji asas yang ditawarkan syarikat perladangan itu juga menarik iaitu serendah RM700 hingga RM800 sebulan bagi buruh ladang.

“Kami berharap, program ini membantu lepasan sekolah dan graduan mendapat pekerjaan serta mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing, selain majikan terus mengutamakan pekerja tempatan,” katanya.

Rosli berkata, program itu kali kedua diadakan pada tahun ini.

Kali pertama ia diadakan pada Jun lalu di Bangunan Pejabat Persekutuan, Kampung Raja.

No comments:

Post a Comment