Wednesday, October 28, 2009

Mosti perkenal KnowledgeGRID Malaysia

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengambil iniasitif untuk bergabung de-ngan empat buah universiti dalam memperkenalkan KnowledgeGRID Malaysia di bawah projek U5 (Lima Universiti) bagi mempertingkatkan penggunaan serta perkongsian sumber antara Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) dengan universiti.

Menurut Timbalan Ketua Setiausahanya, Datin Paduka Profesor Dr Khadijah Yussof, antara empat universiti yang terlibat itu adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Perkembangan terbaru masa kini adalah fasa pertama projek MOSTI GRID (G5) telah diwujudkan pada Mac lalu dan pencapaian utama dalam projek ini adalah meliputi lima agensi kerajaan iaitu Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD), Agensi Nuklear Malaysia (MNA), Malaysian Remote Sensing Agency (MRSA), Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) dan juga Mimos.

“Tujuan utama projek U5 dan MOSTI GRID (G5) adalah untuk melaksanakan gridding atau infrastruktur dan aplikasi pusat Teknologi Maklumat (IT) dengan menggunakan perkongsian sumber serta data antara universiti dan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Forum Malaysia KnowledgeGRID kali kedua 2009 yang berlangsung di Dewan Syed Jalaluddin Fakulti Sains Teknologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menurut beliau, melalui forum dan inisiatif itu adalah demonstrasi seterusnya pihak kerajaan, universiti dan kerjasama industri di peringkat kebangsaan yang meliputi pelbagai kepakaran dan pengetahuan.

“Ini peluang terbaik untuk rangkaian serta wakil dari pelbagai negara melalui perkongsian idea, pengalaman dan pembelajaran pengajaran, selain membantu mempercepatkan momentum penting dalam infrastuktur dan aplikasi teknologi adaptasi komputer di negara ini,” katanya.

Sementara itu, hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Naib Canselor UMT, Profesor Dr Aziz Deraman, Pengarah, Rangkaian Teknologi Komunikasi Maklumat, Mosti, Dr Raslan Ahmad, Pengarah Perbadanan Persekutuan dan Komunikasi Mimos, Dr Amiruddin Abdul Wahab.

No comments:

Post a Comment