Thursday, October 29, 2009

350 murid SK Gong Badak sertai pertandingan mewarna 1Malaysia

Sebanyak 350 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak di sini menunjukkan kreativiti dan bakat mewarna berkonsepkan 1Malaysia dalam Pertandingan Warna-Warna 1Malaysia anjuran akhbar Utusan Malaysia semalam.

Murid prasekolah sehingga tahun enam itu mengambil masa kira-kira satu setengah jam untuk menyiapkan hasil lukisan masing-masing dalam pertandingan tersebut.

Mereka dibahagikan kepada dua tahap iaitu Tahap Satu bagi prasekolah sehingga tahun tiga manakala Tahap Dua untuk tahun empat hingga enam.

Lukisan murid Tahun Dua Ibnu Sina, Mohd. Aidil Azli Marzuki muncul juara Tahap Satu manakala murid Tahun Enam Ibnu Sina, Ainol Alin Nabila Mohd. Adnan pula bagi Tahap Dua.

Kemenangan tersebut menyaksikan kedua-dua murid berkenaan membawa pulang sebuah basikal bukit, hamper dan sijil.

Murid Tahun Dua Ibnu Sina, Wan Ain Najiya Wan Mamat mendapat tempat kedua Tahap 1 manakala rakan sekelasnya, Nur Khairunnisa Masturina Mohd. Zulkifli pula berada ditempat ketiga.

Tempat kedua Tahap Dua dimenangi oleh Murid Tahun Lima Ibnu Sina, Muhammad Faiz Sidek dan tempat ketiga dipegang oleh Murid Tahun Lima Ibnu Ruth, Che Nur Delessa Suyella.

Kesemua mereka masing-masing menerima hamper dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Biro Utusan Malaysia Terengganu, Wan Ramli Wan Mohamad dan Guru Besar SK Gong Badak, Zainon Mohamad.

Zainon berkata, pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia kerana merancakkan aktiviti sempena Bulan Bahasa Kebangsaan di sekolah itu.

''Kita telah mengatur banyak aktiviti untuk murid sekolah mengisi masa persekolahan terutama selepas selesai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

''Pertandingan ini akan membantu bukan sahaja mengasah bakat mewarna malah mengembangkan tahap kreativiti murid-murid ini," katanya ketika ditemui.

No comments:

Post a Comment