Saturday, October 3, 2009

475,182 calon duduki peperiksaan PMR mulai Rabu ini

Seramai 475,182 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula Rabu sehingga 13 Oktober.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini daripada jumlah itu 442,611 orang merupakan calon sekolah bantuan penuh kerajaan, calon swasta (13,561), calon persendirian (338), calon MRSM dan Sekolah Perintis Tentera (4,150), Sekolah Agama Rakyat (1,288) dan Sekolah Agama Negeri (13,234).

Selangor merupakan negeri yang mencatatkan jumlah calon paling ramai iaitu 77,826 orang manakala Labuan mencatatkan jumlah calon paling sedikit iaitu 1,154 orang.

Seramai 28,028 petugas akan mengendalikan peperiksaan itu di 3,496 pusat peperiksaan di seluruh negara dan bagi mempastikan kelancarannya semua calon dikehendaki mematuhi semua syarat dan peraturan peperiksaan yang telah ditetapkan.

Semua calon juga dinasihati supaya sentiasa merujuk jadual peperiksaan dan membawa kad pengenalan dan borang perakuan calon masing-masing ketika berada di dewan peperiksaan.

Ibu bapa diminta sentiasa menasihati anak-anak supaya mengikuti garis panduan kesihatan dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi menggelak penularan virus selesema A H1N1.
Sepanjang tempoh peperiksan Bilik Gerakan PMR akan beroperasi dari 6.45 pagi hingga 7 malam dan ianya boleh dihubungi menerusi talian 03-88893601/3809/3582/3520/3551/3030/3095.

No comments:

Post a Comment