Seramai 13 penembak Kategori Rifel dan Pistol skuad Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu bersedia untuk menghadapi dua Kejohanan di Kuala Lumpur pada 6 hingga 10 Oktober ini.
Pertandingan yang akan disertai nanti adalah Kejohanan Menembak Tun Hanif dan Kejohanan Menembak Sports Excel Kali Keempat.
Pengurus menembak skuad Sukma negeri, Nazihan Harun berkata, 13 atlet berkenaan terdiri daripada lelaki dan wanita, namun hampir sepuluh atlet terlibat tidak dapat bersama-sama mengharungi kejohanan itu kerana terlibat dengan peperiksaan.
“Mereka yang terlibat dengan peperiksaan terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan, manakala atlet lain yang dihantar sudah pun mempunyai persediaan mental dan fizikal mencukupi untuk memberi saingan sengit nanti,” katanya.
Menurutnya, persediaan mencukupi akan memberi keyakinan kepada atlet untuk memberi persembahan berkualiti.
“Kami amat mementingkan persiapan mencukupi kerana atlet akan lebih berkeyakinan dan bersedia menghadapi pihak lawan,” katanya.
Menurutnya, semua atlet diharap bijak menggunakan peluang ini untuk menilai kelemahan diri dan kelebihan pihak lawan supaya pengalaman itu mampu mendidik mereka mempertingkatkan mutu persembahan masing-masing.
“Penembak yang akan menyertai kejohanan ini terdiri daripada atlet Sukma seluruh negara.
"Jadi, atlet kita perlu menggunakan peluang ini untuk menilai tahap keupayaan diri masing-masing dan cuba mempertingkatkan keupayaan untuk persembahan lebih mantap pada temasya Sukma nanti,” katanya.
Nazihan berkata, atlet juga harus lebih bersemangat untuk menghadapi kejohanan itu agar sasaran yang diburu dapat direalisasikan.
“Terpulang kepada atlet untuk menentukan sama ada mereka mampu merealisasikan sasaran atau tidak.
“Berdasarkan pemerhatian saya ketika menjalani latihan, mereka berpeluang meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas, namun jika lebih bersungguh-sungguh, kemungkinan mereka dapat meraih lebih daripada satu emas,” katanya.
No comments:
Post a Comment