Thursday, October 22, 2009

60 peratus jenayah Terengganu di kalangan pelajar, remaja

Lebih 60 peratus kadar jenayah di Terengganu disumbangkan oleh golongan remaja yang kebanyakannya berumur 15 hingga 25 tahun.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pembabitan golongan remaja ini dalam kes mencuri, merogol dan penyalahgunaan dadah antara lain disebabkan kurang pengawasan keluarga terhadap mereka.

"Untuk mengurangkan kadar jenayah di kalangan remaja di negeri ini, polis mengambil pelbagai pendekatan antaranya seperti kempen dan penerapan nilai-nilai murni.

"Namun usaha berkenaan tidak akan berjaya jika sekiranya ibu bapa dan keluarga sendiri mengambil sikap lepas tangan dan tidak mengawasi perlakuan anak-anak mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Mohd Shukri berkata PDRM melakukan kempen cegah jenayah dalam bentuk pendidikan supaya memberi kesedaran kepada pelajar dan remaja sepanjang hayat.

Katanya pihaknya juga berbincang dengan pengetua-pengetua sekolah bagi menjalankan kegiatan pencegahan jenayah khususnya menerapkan nilai-nilai disiplin diri pelajar-pelajar.

Secara keseluruhan, kadar jenayah indeks di Terengganu dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berjaya diturunkan sebanyak 12 peratus iaitu 4,276 kes berbanding tahun lepas sebanyak 4,742 kes, katanya.

No comments:

Post a Comment