Thursday, October 22, 2009

Waspada berada di taman rekreasi

Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah di taman-taman rekreasi di negeri ini berikutan beberapa kes kecurian yang dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, dalam kejadian terbaru, seorang jurujual bersama empat rakannya kerugian kira-kira RM2,000 ketika berkelah di Air Terjun Menderu, Kampung Chabang, Kerteh di Kemaman, semalam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, seorang gadis berusia 25 tahun meletakkan beg sandang berisi tiga telefon bimbit dan wang tunai RM50 di atas sebuah batu berdekatan tempat mereka mandi.

“Sejurus kembali untuk mengambil beg itu, mangsa dapati barang mereka telah hilang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka kemudian membuat laporan di Balai Polis Kerteh, Kemaman, kira-kira pukul 4.50 petang pada hari yang sama.

“Dalam laporan itu, mangsa melihat kira-kira empat lelaki melalui kawasan tersebut tetapi tidak dapat pastikan mereka yang mengambilnya,” ujarnya.

Dalam kejadian berasingan, seorang guru lelaki kerugian wang tunai RM800 apabila beg galas miliknya yang diletakkan di dalam raga motosikal diragut, semalam.

Mohd. Fauzi berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang ketika mangsa yang berusia 34 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Losong Hj. Mat Shafie di sini dengan menunggang motosikal.

“Semasa menghampiri Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Nilam, secara tiba-tiba mangsa dipintas oleh sebuah motosikal lain dari arah belakang.

“Lelaki itu terus meragut beg galas mangsa. Selain wang tunai, turut dilarikan adalah dokumen peribadi termasuk kad pengenalan dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya.

No comments:

Post a Comment